Shakira lawat wilayah terjejas gempa bumi di Colombia, janji bina semula sekolah

Facebook
WhatsApp
PENYANYI Colombia Shakira menyapa para penyokong ketika mengunjungi kawasan yang musnah selepas gempa bumi berukuran 7.4 magnitud di Quibdo, Colombia pada 17 Ogos 2026. Foto AFP

RIO DE JANEIRO: Bintang pop Colombia Shakira pada Isnin berjanji memberikan bantuan kewangan bagi membantu membina semula sekolah yang rosak akibat gempa bumi dahsyat di negara kelahirannya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Penyanyi itu melawat wilayah Choco di pantai Pasifik Colombia yang terjejas teruk bersama dermawan Amerika Syarikat (AS) Howard Buffett, seminggu selepas gempa bumi bermagnitud 7.4 mengorbankan hampir 300 orang.

Shakira berkata yayasan Pies Descalzos miliknya aktif di wilayah barat laut yang kurang mendapat perhatian itu sejak lebih 20 tahun lepas dengan menyokong pembinaan sekolah serta projek pendidikan untuk kanak-kanak dan golongan muda.

Lebih 2,800 sekolah di seluruh Colombia rosak akibat gempa bumi pada 10 Ogos, kebanyakannya di Choco yang didiami terutamanya komuniti Afro-Colombia dan Orang Asli.

“Apa yang paling membimbangkan saya ialah selepas keadaan darurat berakhir, semua sekolah ini tidak akan dibina semula, begitu ramai orang akan dilupakan … dan anak-anak kita tidak akan dapat kembali ke sekolah,” kata Shakira kepada pemberita di Quibdo, pusat pentadbiran wilayah Choco.

Penyanyi yang terkenal menerusi lagu popular dunia termasuk “Hips Don’t Lie” dan “Waka Waka” itu berkata sebanyak US$1 juta telah dijanjikan bagi usaha pembinaan semula.

Dana itu dijangka digunakan untuk membaik pulih sekolah yang rosak, membina semula sebuah institut teknikal dan membina 10 sekolah baharu. – Bernama-dpa