SHAH ALAM: Kejayaan skuad polo air lelaki dan wanita Sarawak menyapu bersih dua pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026 perlu dijadikan pemangkin untuk memperluaskan pembangunan sukan berkenaan ke seluruh negeri, kata Datuk Gerald Rentap Jabu.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan itu berkata, program pembangunan polo air tidak seharusnya hanya tertumpu di Kuching, sebaliknya perlu diperluaskan ke bahagian lain bagi membuka lebih banyak peluang kepada bakat muda untuk menceburi sukan berkenaan.
Beliau yang juga Ketua Kontinjen (CDM) Sarawak berkata, pencapaian kedua-dua pasukan Sarawak di pentas Sukma kali ini membuktikan program pembangunan polo air yang dilaksanakan berada pada landasan yang tepat, malah kehadiran pemain semuda 14 tahun memberi petanda positif terhadap masa depan sukan itu.
“Ini menunjukkan latihan dan program pembangunan polo air Sarawak yang kita jalankan berkesan. Kita mahu ia terus ditambah baik,” katanya kepada pemberita selepas aksi final di Pusat Akuatik Darul Ehsan, di sini, hari ini.
Menurut Gerald, lebih banyak kolam renang perlu disediakan di bahagian lain bagi membolehkan bakat baharu dikenal pasti dan dibangunkan secara lebih menyeluruh.
“Kalau lebih ramai menyertai polo air, ia akan menjadi lebih baik. Kita perlu menyediakan lebih banyak kolam supaya bakat dapat dikenal pasti dan dibangunkan,” katanya.


GERALD Rentap Jabu bersama skuad polo air lelaki dan wanita Sarawak selepas meraih dua pingat emas pada SUKMA XXII Selangor 2026.
Beliau berkata, pembangunan polo air juga perlu bermula daripada asas renang kerana sukan berkenaan menuntut tahap stamina, kemahiran serta disiplin yang tinggi.
“Perlu bermula sebagai perenang terlebih dahulu. Tidak boleh terus terjun dan menjadi pemain polo air,” katanya.
Dalam pada itu, Gerald berharap polo air dapat disenaraikan dalam temasya Sukan SEA akan datang bagi membuka laluan lebih luas kepada atlet Sarawak untuk mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Jika polo air disenaraikan dalam Sukan SEA akan datang, saya yakin ada antara atlet Sarawak yang akan berada dalam pasukan kebangsaan,” katanya.
Beliau optimis dengan masa depan polo air Sarawak berdasarkan usia muda sebahagian besar pemainnya ketika ini, selain mahu mengembalikan reputasi negeri itu sebagai antara kuasa utama dalam sukan berkenaan.
“Dahulu Sarawak merupakan antara pasukan terkuat. Jadi sekarang kita mahu mengembalikannya,” katanya.
Skuad wanita Sarawak terlebih dahulu meraih emas selepas menewaskan Selangor 12-10, sebelum pasukan lelaki meneruskan kejayaan dengan mengatasi tuan rumah 9-6, sekali gus melengkapkan sapuan bersih dua emas polo air buat kontinjen Sarawak.
Gerald berkata, kejayaan berganda itu bukan sekadar pencapaian di Sukma, sebaliknya menjadi asas penting untuk Sarawak memperkukuh pembangunan polo air secara lebih meluas dan berterusan pada masa akan datang.
Oleh Shahrul Qaizat





