Bomba redah bahang cuaca panas padam kebakaran belukar Kampung Kelapa Mawar

Facebook
WhatsApp
PADAM API...Anggota bomba Limbang bertungkus lumus memadam kebakaran belukar Kampung Kelapa Mawar. Foto BBP Limbang

LIMBANG: Bomba mengambil masa kira-kira dua jam untuk memadam kebakaran hutan belukar seluas setengah ekar di Kampung Kelapa Mawar, Limbang, petang tadi.

Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang, Pegawai Bomba Ramlan Marajan berkata, sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 11 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang selepas menerima panggilan kecemasan pada 1.00 petang.

ANGGOTA bomba menggunakan aliran air untuk memadam kebakaran hutan belukar di Kampung Kelapa Mawar petang tadi. Foto BBP Limbang

“Setiba pasukan di lokasi, didapati kebakaran melibatkan kawasan hutan belukar gambut di Jalan Kampung Kelapa Mawar seluas kira-kira setengah ekar.

“Pasukan operasi bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki, dua nozel serta pam apung dengan sumber air terbuka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KEADAAN lokasi kebakaran hutan belukar di Kampung Kelapa Mawar yang dipadamkan pasukan bomba petang tadi. Foto BBP Limbang

Operasi yang disertai enam pegawai dan anggota itu membabitkan dua kenderaan bomba dan berjaya ditamatkan pada 3.10 petang selepas kawasan berkenaan dipastikan selamat.

Pada Khamis lalu, anggota bomba turut mengambil masa dua hari untuk memadam kebakaran hutan belukar di Kampung Buangkuati yang berjaya dipadamkan sepenuhnya pada Jumaat lalu.

Oleh Adeng Edrus