SIBU: Kehilangan suami bukan sahaja meninggalkan kesedihan, malah memaksa balu mendiang Koperal Chiu Teck Siong, Tang Wei Wei, 39, serta lima anak perempuan mereka berdepan cabaran baharu dalam kehidupan, termasuk berkaitan tempat tinggal, pendidikan dan kewangan.
Menyedari cabaran itu, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee tampil menghulurkan bantuan serta berjanji membantu mereka mendapatkan rumah mampu milik dan sokongan lain yang diperlukan.
Beliau berkata, keperluan mendapatkan kediaman yang lebih sesuai dikenal pasti sebagai antara perkara utama ketika mengunjungi kediaman Tang bersama lima anaknya di Ulu Sungai Merah, hari ini.
“Semasa saya menghadiri upacara penghormatan terakhir dan pengebumian mendiang Koperal Chiu minggu lalu, saya tidak berkesempatan untuk duduk berbincang dengan Puan Tang bagi mengetahui secara terperinci isu atau cabaran yang dihadapinya selepas pemergian suaminya.
“Saya telah memberitahunya akan meluangkan masa untuk datang melawatnya dan hari ini saya turut membawa wakil Kelab Lions, Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) Cawangan Nangka, Lembaga Pengurusan Sekolah SJK (C) Tiong Hin dan ketua masyarakat untuk menziarahi beliau dan lima anaknya,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan berkata, hasil kunjungan itu mendapati Tang kini bekerja di sebuah syarikat swasta, namun keluarga berkenaan masih berdepan beberapa cabaran, terutama berkaitan pendidikan anak-anak.
Menurutnya, Lembaga Pengurusan Sekolah SJK (C) Tiong Hin telah tampil membantu menanggung perbelanjaan pendidikan, termasuk yuran tuisyen anak-anaknya sehingga mereka menamatkan pendidikan sekolah rendah.
“Saya amat gembira kerana Lembaga Pengurusan Sekolah SJK (C) Tiong Hin telah bersetuju menaja perbelanjaan pendidikan dan yuran tuisyen anak-anak mereka sehingga tamat Tahun Enam.
“Bagi anak bongsu yang kini berusia empat tahun, kos pendidikan prasekolah termasuk buku teks pula akan ditanggung kerajaan,” ujarnya.
Beliau berkata, Tang turut memohon bantuan mendapatkan kediaman mampu milik kerana anak-anaknya semakin membesar dan tidak boleh tinggal bersama keluarga mertuanya untuk tempoh yang panjang.
“Saya berjanji akan membantu mencari rumah mampu milik untuknya. Pada masa sama, saya akan membantu mendapatkan rumah untuk beliau menyewa melalui Skim Bantuan Sewa Kediaman Sarawak (SRAS) yang disediakan kerajaan.

“Ini memberi mereka tempoh tiga tahun untuk mencari rumah mampu milik yang sesuai untuk Tang dan anak-anaknya. Saya percaya perkara ini boleh dilaksanakan dan itu menjadi misi saya,” katanya.
Tiang menyifatkan sokongan dan bantuan yang diberikan pelbagai pihak kepada keluarga mendiang jelas mencerminkan semangat keprihatinan dan kasih sayang yang menjadi kekuatan masyarakat di Sibu.
“Saya amat sedih dengan tragedi yang menimpa mendiang Chiu, namun pada masa sama saya amat tersentuh melihat kasih sayang, keprihatinan dan sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk gereja, sekolah, NGO, parti politik dan Persatuan Wartawan Sibu (SJA) yang turut berperanan membantu keluarga ini.
“Ini jelas menunjukkan bahawa Sibu adalah komuniti yang penuh kasih sayang. Apabila sesuatu berlaku kepada seseorang, kita semua tampil untuk membantu dan memberikan sokongan,” ujarnya lagi.
Tiang turut memberi jaminan akan terus berhubung dengan keluarga berkenaan dan membantu mereka dalam urusan yang masih perlu diselesaikan, termasuk prosedur perundangan.
“Saya berharap mereka terus tabah dan kami akan sentiasa berhubung. Mereka mempunyai nombor untuk menghubungi saya dan Pusat Khidmat saya (Pusat Khidmat DUN Pelawan).
“Kami akan terus membantu mereka, terutama dalam beberapa prosedur perundangan yang masih perlu diselesaikan,” katanya.
Koperal Chiu Teck Siong, 40, merupakan antara tiga anggota polis yang maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan galah logam untuk mengambil kelapa di luar Balai Polis Weston, Beaufort, Sabah, pada Khamis (6 Ogos).
Mendiang Chiu meninggalkan balu Tang Wei Wei, 39, dan lima anaknya yang masing-masing berusia 11, 10, 7, 6 dan 4 tahun. Kesemuanya menetap dan bersekolah di sini.
Dua lagi mangsa yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26. Ketiga-tiga mereka bertugas di Balai Polis Weston, Beaufort.
Oleh Akun Giman



