MIRI: Tindakan seorang penunggang motosikal mempamerkan nombor pendaftaran palsu membawa kepada penahanannya dalam Operasi Samseng Jalanan di sekitar bandar raya ini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, lelaki tempatan berusia 20 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD itu bermula 11.00 malam semalam hingga 4.30 pagi tadi dan membabitkan beberapa lokasi termasuk Bandar Miri, Jalan Miri Bypass, Jalan Marina, Jalan Canada Hill, Jalan Piasau, Jalan Tudan dan Jalan Pujut.
Menurutnya, sebanyak 58 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, manakala 11 motosikal disita mengikut Seksyen 60(1) APJ 1987.
“Seramai 25 lelaki dan dua wanita turut diperiksa bersama 20 motosikal sepanjang operasi berkenaan.
“Antara kesalahan dikesan termasuk menunggang tanpa lesen memandu, pengubahsuaian struktur dan ekzos motosikal, tiada cermin sisi, tiada nombor pendaftaran serta penggunaan nombor pendaftaran ‘fancy’,” ujarnya.
Mohd Farhan berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti samseng jalanan yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak melakukan pengubahsuaian kenderaan yang bercanggah dengan spesifikasi ditetapkan.
Oleh Liong Chai Ling





