Dua kebakaran dalam sehari, bomba ingatkan elak pembakaran terbuka

Facebook
WhatsApp
KEBAKARAN rumput berhampiran Rumah Noven telah terpadam sebelum ketibaan pasukan bomba. Foto BBP Bintangor

BINTANGOR: Dua kejadian kebakaran melibatkan kawasan rumput dan longgokan kayu dilaporkan di lokasi berasingan pada hari yang sama, baru-baru ini, namun kedua-duanya tidak memerlukan operasi pemadaman oleh pihak bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin ketika dihubungi berkata, kejadian pertama melibatkan kebakaran rumput berhampiran sebuah rumah panjang, Jalan Selidap.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada 2.33 petang sebelum pasukan bomba diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mijan Pamin bergerak ke lokasi.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati kebakaran rumput tersebut telah terpadam.

“Tiada operasi pemadaman dijalankan dan pasukan bomba hanya memastikan kawasan berada dalam keadaan selamat dan tiada kemungkinan kebakaran berulang,” katanya ketika dihubungi.

SISA kebakaran longgokan kayu dipadam oleh pekerja tapak. Foto BBP Bintangor

Mahmudin berkata, operasi bagi kejadian pertama bermula pada 2.50 petang dan ditamatkan tujuh minit kemudian selepas pemeriksaan keselamatan selesai dilakukan.

Bagaimanapun, katanya, kira-kira tiga jam kemudian, BBP Bintangor menerima satu lagi panggilan kecemasan pada 5.36 petang berhubung kebakaran longgokan kayu di Jalan Bakong.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati berlaku kebakaran longgokan pokok daripada kerja pembukaan tapak semaian baharu.

“Operasi pemadaman oleh anggota bomba juga tidak diperlukan bagi kejadian kedua, sebaliknya pekerja di tapak tersebut diarahkan memadam sisa kebakaran sehingga keadaan selamat.

“Pihak bomba mengarahkan pekerja tapak untuk memadam sisa-sisa kebakaran dan memastikan kawasan dalam keadaan selamat.

“Pekerja tapak turut dinasihatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka,” katanya.

Katanya, masyarakat perlu mengelakkan pembakaran terbuka kerana api boleh merebak dengan pantas terutama dalam keadaan cuaca panas dan kering.

Oleh Earl Anek