DARO: Operasi pemadaman kebakaran hutan di Kampung Kut memasuki hari keenam hari ini dengan pasukan bomba berjaya memadam kira-kira 22 hektar daripada keseluruhan 29 hektar kawasan yang terbakar.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memberitahu, operasi yang melibatkan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro itu turut mendapat bantuan dua jengkaut bagi membina ‘fire break’ bagi menghalang api daripada terus merebak.
Menurutnya, penggunaan sumber air dari parit dan dam check turut membantu melancarkan kerja-kerja pemadaman di tiga sektor yang dikenal pasti.
“Bantuan dua jengkaut bagi membuat ‘fire break’ telah membantu menyekat api daripada merebak, manakala sumber air dari parit dan dam check memudahkan kerja pemadaman,” katanya menerusi kenyataan, lewat petang tadi.
Operasi bermula pada 8.40 pagi apabila pasukan keluaran operasi (PKO) bergerak ke lokasi menggunakan sebuah CFRT dan sebuah kenderaan pacuan empat roda sebelum tiba 10 minit kemudian.
Pasukan kemudiannya dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan kekuatan lima anggota bagi menjalankan operasi pemadaman di sektor A, B dan C.
Operasi berdepan beberapa cabaran termasuk cuaca panas dan kering yang menyebabkan api cepat merebak, kekurangan sumber air serta akses jalan yang sempit.
Liputan sistem komunikasi GIRN yang kurang memuaskan turut menjadi antara cabaran, namun masih membolehkan operasi diteruskan.
Sehingga 5.00 petang tadi, kira-kira tujuh hektar kawasan masih belum dipadam dan operasi ditangguhkan sebelum disambung semula esok.
Operasi turut dibantu oleh lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), tiga pekerja kontraktor jengkaut dan dua wakil Pejabat Daerah.
Oleh Akun Giman





