Bilem Brewtisserie angkat identiti Melanau melalui jenama kopi tempatan

Facebook
WhatsApp
UNTUK ALBUM... Athira Hamjah (dua dari kanan) bersama kakitangan Bilem Brewtisserie ketika menyertai pesta makanan di Lorong Sahabat, Sibu hari ini.

SIBU: Bermula sebagai sebuah kafe moden di Mukah pada April 2023, Bilem Bake and Brew atau Bilem Brewtisserie membawa misi mengangkat identiti Melanau melalui jenama kopi tempatan yang dibangunkan oleh anak Sarawak.

Pemiliknya, Athira Hamjah, 31, berkata nama ‘Bilem’ dipilih kerana perkataan itu bermaksud ‘hitam’ dalam bahasa Melanau, yang sinonim dengan warna kopi.

“Dalam bahasa Melanau, semua orang tahu ‘bilem’ bermaksud hitam. Warna kopi itu sendiri menggambarkan imej Bilem. Kami mahu orang terus mengaitkan jenama ini dengan identiti Melanau,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini.

Menurutnya, konsep kafe yang dibawa adalah berteraskan gaya moden dengan pilihan menu yang mengikuti trend semasa bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Antara menu paling laris ialah Spanish Latte dan Buttercream Latte, manakala Bilem Strawberry menjadi menu eksklusif yang membezakan jenama itu daripada kafe lain.

Athira berkata cabaran terbesar sepanjang mengusahakan perniagaan ialah kenaikan harga bahan mentah yang berlaku secara kerap.

Katanya, keadaan itu memaksa mereka membuat pelarasan harga dari semasa ke semasa, namun tidak semua pelanggan dapat menerima perubahan tersebut.

“Harga barang terlalu kerap naik. Kami terpaksa sentiasa menyesuaikan harga dan ada pelanggan yang sukar menerima kenaikan itu. Namun kami tetap berusaha mengekalkan kualiti produk yang ditawarkan,” ujarnya.

Beliau berkata hasrat jangka panjangnya ialah mengembangkan Bilem sehingga mampu berdiri setanding dengan jenama kafe dan kedai kopi terkenal di Malaysia, selain memperkenalkan Bilem sebagai jenama kopi milik anak Melanau.

Oleh Tarani Lanting