Pemuda PBB Sarawak perlu terus perkukuh perpaduan, libatkan belia secara aktif

Facebook
WhatsApp
ALLAN Siden Gramong pada Program Segulai Sejalai anjuran Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Krian hari ini. Foto Uban Dana

SARATOK: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak perlu terus memperkukuh perpaduan dalam kalangan ahli, khususnya golongan belia, bagi memastikan parti kekal kukuh serta mampu membawa suara masyarakat ke peringkat kepimpinan dan kerajaan.

Timbalan Ketua Pemuda PBB, Allan Siden Gramong berkata, penglibatan aktif golongan muda amat penting dalam mengenal pasti isu serta keperluan masyarakat di peringkat akar umbi.

Menurutnya, program seperti Segulai Sejalai menjadi platform penting untuk pemimpin dan ahli pelbagai sayap parti berkumpul, bertukar pandangan serta memahami permasalahan yang dihadapi masyarakat setempat.

“Golongan belia perlu diberikan ruang dan peluang untuk menimba pengalaman, membina keyakinan serta memainkan peranan dalam pelaksanaan pelbagai program di peringkat akar umbi,” katanya ketika berucap pada Program Segulai Sejalai anjuran Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Krian di sini, hari ini.

Allan berkata, proses pembelajaran kepimpinan perlu bermula dari peringkat belia sebagai persediaan sebelum mereka memikul tanggungjawab lebih besar dalam parti dan masyarakat.

Katanya, kekuatan sesebuah parti bergantung kepada kesatuan, perpaduan dan sokongan ahli di semua peringkat.

“Pemuda PBB perlu terus memberikan sokongan kepada kepimpinan parti serta mempertahankan perpaduan dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya.

Beliau berkata, setiap ahli mempunyai peranan penting dalam memastikan parti terus kukuh selain mampu memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Allan berharap golongan pemuda tidak sekadar menjadi penyokong, sebaliknya tampil aktif menyertai program, menyumbang idea serta membawa isu dan keperluan masyarakat untuk perhatian kerajaan.

Program berkenaan disertai kira-kira 150 tetamu terdiri daripada ketua-ketua Pergerakan Pemuda dan wakil cawangan, barisan kepimpinan Pergerakan Pemuda, Wanita serta Sayap Belia PBB Cawangan Krian.

Turut hadir Ketua Cawangan PBB Krian, Bell Bernard Aggan dan Penolong Bendahari Majlis Kerja Tertinggi Pergerakan Pemuda PBB Sarawak, Afiq Fikri Brahim.

Oleh Adi Safarman