FTES buka laluan pendidikan tinggi, pastikan anak Sarawak tidak tercicir

Facebook
WhatsApp
RAKAM KENANGAN… Dato Ir. Yusuf Abd Wahab bergambar bersama yang lain di Ekspo Pendidikan FTES Yayasan Sarawak 2026, Dewan SMK St Anthony, hari ini.

SARIKEI: Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) membuka lembaran baharu pendidikan negeri dengan memberi peluang kepada anak Sarawak melanjutkan pengajian tanpa impian mereka terhalang akibat kekangan kewangan.

Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab berkata, pendidikan bukan sekadar mengenai kelulusan, sebaliknya menjadi asas dalam membentuk insan, mencorakkan masa depan dan memacu kemajuan negeri.

Memetik kata-kata tokoh dunia, Nelson Mandela, beliau berkata: “Education is the most powerful weapon which you can use to change the world.”

“Pendidikan ialah senjata paling ampuh yang boleh digunakan untuk mengubah dunia.

“Kata-kata ini mengingatkan kita bahawa pendidikan bukan sekadar memperoleh kelulusan, tetapi membentuk insan, mencorakkan masa depan dan memajukan negeri. 

TIMBALAN Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Perancangan PPD Sarikei menyerahkan cenderamata kepada Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab.

“Setiap peluang pendidikan yang diwujudkan hari ini merupakan benih harapan yang akan berkembang menjadi kejayaan anak-anak Sarawak pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ekspo Pendidikan FTES Yayasan Sarawak 2026, di Dewan SMK St Anthony, hari ini.

Katanya, pelaksanaan FTES melakar sejarah baharu dalam landskap pendidikan Sarawak dengan menyediakan peluang pengajian percuma di institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Sarawak, tertakluk kepada syarat kelayakan ditetapkan.

Antara institusi tersebut ialah Universiti Swinburne, Universiti Teknologi Sarawak, Universiti Curtin Malaysia, Kolej Universiti i-CATS dan CENTEXS.

“Inisiatif yang tersedia ini bukan sekadar membiayai pendidikan, malah mencerminkan iltizam kerajaan Sarawak untuk memastikan tiada anak negeri yang tercicir daripada mengejar cita-cita hanya kerana kekangan kewangan,” katanya.

DATO Ir. Yusuf Abd Wahab merasmikan Ekspo Pendidikan FTES Yayasan Sarawak 2026, Dewan SMK St Anthony, hari ini.

Beliau menyifatkan penganjuran ekspo itu bukan sekadar menghimpunkan institusi pendidikan, sebaliknya berperanan menghubungkan aspirasi generasi muda dengan pelbagai peluang pengajian yang tersedia.

“Penganjuran ekspo ini bukan sekadar menghimpunkan institusi pendidikan dalam satu dewan.

“Sebaliknya, ia merupakan sebuah jambatan harapan yang menghubungkan impian anak-anak Sarawak dengan peluang pendidikan yang lebih luas; sebuah medan yang menemukan cita-cita dengan ikhtiar, serta potensi dengan masa depan,” katanya.

Tambahnya, peluang yang disediakan kerajaan Sarawak perlu disambut dengan usaha dan kesungguhan pelajar kerana kejayaan tidak akan dicapai tanpa komitmen individu sendiri.

“Ada pepatah Melayu yang menyebut, ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.’ Demikian jugalah hakikat pendidikan. Kejayaan bukan hadir secara kebetulan, tetapi lahir daripada usaha yang disokong oleh peluang,” katanya lagi.

Katanya, Yayasan Sarawak menerusi FTES kini membuka lebih banyak ruang kepada generasi muda untuk mencapai pendidikan tinggi tanpa menjadikan kemampuan kewangan sebagai halangan utama.

“Jika suatu ketika dahulu pendidikan tinggi dianggap sebagai sebuah gunung yang sukar didaki kerana kekangan kewangan, hari ini kerajaan Sarawak sedang membina laluan yang lebih luas dan lebih mudah dilalui.

DATO Ir. Yusuf Abd Wahab menyerahkan sijil hadiah pelajar cemerlang dari Yayasan Sarawak kepada penerima.

“Pendidikan tinggi bukan lagi sebuah impian yang jauh di kaki langit, tetapi peluang yang semakin hampir dalam genggaman setiap anak Sarawak yang berusaha dan berkelayakan,” ujarnya.

Beliau turut menyifatkan Ekspo Pendidikan FTES sebagai ‘kompas’ kepada pelajar dalam menentukan hala tuju selepas tamat persekolahan dengan mendapatkan maklumat berkaitan laluan pendidikan, syarat kemasukan, penajaan dan institusi pengajian.

Pada masa sama, katanya, ekspo berkenaan dapat memberi keyakinan kepada ibu bapa bahawa masa depan anak mereka boleh dibina menerusi pendidikan berkualiti dengan sokongan dasar kerajaan.

“Saya percaya, setiap anak yang hadir pada hari ini umpama benih yang sedang menunggu musim untuk bercambah. Benih yang baik tidak akan menjadi pohon yang rendang tanpa tanah yang subur, air yang mencukupi dan sinaran mentari.

“Begitu jugalah seorang pelajar. Bakat memerlukan bimbingan, impian memerlukan sokongan dan kejayaan memerlukan peluang,” katanya.

Katanya, FTES dan Yayasan Sarawak menjadi sebahagian daripada ekosistem yang menyediakan peluang kepada generasi muda untuk berkembang sebagai modal insan berilmu dan berkemahiran.

“Marilah kita bersama-sama menanam keyakinan bahawa setiap anak Sarawak berhak bermimpi, dan setiap mimpi berhak diberikan peluang untuk menjadi kenyataan.

“Semoga ekspo ini menjadi titik tolak kepada lahirnya lebih ramai anak Sarawak yang berilmu, berakhlak, berdaya saing dan menjadi kebanggaan negeri yang kita cintai,” katanya lagi.

Dalam pada itu, seramai 11 penerima telah sijil hadiah pelajar cemerlang (HPC) Sekolah Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 Yayasan Sarawak (PPD Sarikei) dan seramai 155 penerima telah menerima sijil HPC Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Yayasan Sarawak (PPD Sarikei).

Oleh Earl Anek