Kebakaran belukar 100 hektar, operasi masuk hari ketiga

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA APM dan JBPM menjalankan operasi pemadaman kebakaran belukar di Jalan Kejatau-Lingga, Sri Aman. Foto APM Sri Aman

SRI AMAN: Operasi memadam kebakaran belukar membabitkan kawasan dianggarkan seluas 100 hektar di Jalan Kejatau-Lingga di sini diteruskan memasuki hari ketiga, hari ini.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Sri Aman memaklumkan, operasi diteruskan susulan laporan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sri Aman berhubung kejadian berkenaan.

Pasukan APM tiba di lokasi sekitar 8.15 pagi sebelum operasi pemadaman bersama JBPM dimulakan pada 9.05 pagi.

ANGGOTA APM memadam sisa kebakaran belukar di Jalan Kejatau-Lingga, Sri Aman. Foto APM Sri Aman

Operasi berkenaan melibatkan Sektor 1 dan Sektor 2 yang dibahagikan kepada empat kumpulan bagi memperkemas gerak kerja pemadaman serta mengawal kebakaran daripada terus merebak.

Seramai lima anggota APM bersama 20 anggota JBPM terlibat dalam operasi dengan sokongan aset dan logistik daripada kedua-dua agensi.

ANGGOTA JBPM dan APM menggunakan sumber air berhampiran bagi membantu operasi pemadaman kebakaran belukar di Jalan Kejatau-Lingga. Foto APM Sri Aman

Usaha pemadaman bagaimanapun berdepan beberapa cabaran termasuk tiupan angin kencang, kekurangan sumber air, liputan komunikasi yang lemah serta keadaan jalan yang sempit.

APM Sri Aman bersama agensi berkaitan terus menjalankan usaha pemadaman bagi membendung kebakaran daripada merebak serta memastikan keselamatan masyarakat dan kawasan sekitar.