Tiga individu positif alkohol dalam Op Mabuk di Padawan

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA BSPT IPD Padawan menjalankan pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya dalam Op Mabuk di Jalan Tan Sri Dato Amar Wee Boon Ping. Foto FB Polis IPD Padawan

PADAWAN: Tiga individu didapati positif dalam ujian alkohol menerusi Op Mabuk yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan di Jalan Tan Sri Dato Amar Wee Boon Ping.

Operasi yang dijalankan pada 14 hingga 15 Ogos itu menyaksikan sebanyak  31 kenderaan dan 48 individu diperiksa dalam usaha membanteras pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

Sebanyak 22 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik sepanjang operasi berkenaan.

Operasi itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta membendung pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

Pada masa sama, pengguna jalan raya diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak memandu sekiranya berada di bawah pengaruh alkohol bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.