BETONG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Betong menyertai Pameran Ekspo Pendidikan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) Yayasan Sarawak Zon Selatan 2026 di Dewan Sukan Tan Sri Amar Stephen Kalong Ningkan, di sini, hari ini.
Penyertaan itu merupakan antara usaha JPJ Sarawak mendekati masyarakat, selain menyokong inisiatif berkaitan pendidikan, pembangunan kemahiran dan peluang kerjaya, khususnya dalam kalangan golongan muda.
Menerusi pameran berkenaan, pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat mengenai peranan, fungsi dan perkhidmatan JPJ, selain mengetahui peluang kerjaya dalam perkhidmatan awam.

Interaksi secara langsung bersama pengunjung turut memberi ruang kepada JPJ Cawangan Betong untuk menyampaikan maklumat berkaitan perkhidmatan jabatan dengan lebih berkesan.
Ekspo berkenaan menjadi platform kepada murid, lepasan sekolah dan masyarakat setempat mendapatkan maklumat mengenai peluang melanjutkan pendidikan, kerjaya serta latihan kemahiran bagi membantu mereka merancang hala tuju masa depan.
Program berkenaan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu.

Turut hadir ialah Ketua Cawangan JPJ Betong, Jeffery Alfrida, bersama warga JPJ Cawangan Betong.
Dalam kenyataannya, JPJ Sarawak berkata pihaknya akan terus menyokong program yang memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya dalam aspek pendidikan, pembangunan kemahiran, peluang kerjaya serta penyampaian maklumat berkaitan perkhidmatan jabatan.





