SIBU: Anak-anak Sarawak perlu melangkaui kecemerlangan akademik dengan menguasai disiplin, kreativiti dan keupayaan menyesuaikan diri bagi menghadapi cabaran dalam dunia yang dipacu kecerdasan buatan (AI), teknologi dan ekonomi digital.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata kejayaan tidak hanya bergantung kepada pencapaian akademik yang baik, sebaliknya memerlukan usaha berterusan untuk menambah ilmu pengetahuan dan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.
“Dunia hari ini berubah dengan begitu pantas. Teknologi, AI dan ekonomi digital membuka pelbagai peluang baharu. Oleh itu, kejayaan tidak hanya bergantung kepada keputusan yang baik. Anda perlu berdisiplin, kreatif, sentiasa rajin menambah ilmu dan bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan semasa,” ujarnya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakannya oleh Setiausaha Politik Premier Sarawak, Joshua Ting Fu Ying, pada Majlis Penyampaian Insentif Akademik Kesatuan Guru Sarawak (STU) Bahagian Sibu 2026 di Kolej Laila Taib (KLT), hari ini.
Pada majlis tersebut, seramai 64 penerima Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan GCE A Level menerima Insentif Akademik STU Bahagian Sibu 2026.
Tiong berkata, ilmu pengetahuan mampu mengubah kehidupan seseorang, meningkatkan taraf hidup keluarga serta menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan pembangunan Sarawak.
Menurutnya, anak-anak Sarawak juga bertuah kerana Kerajaan Sarawak memberikan perhatian besar terhadap pembangunan pendidikan dan masa depan generasi muda.

“Mulai tahun 2026, anak-anak Sarawak yang layak berpeluang mengikuti pengajian tinggi percuma di institusi milik Kerajaan Sarawak menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak.
“Ini adalah peluang yang sangat baik dan saya harap anak-anak dapat memanfaatkannya,” ujarnya.
Selain itu, katanya, Yayasan Sarawak turut menyediakan pelbagai biasiswa, bantuan kewangan dan insentif pendidikan bagi membantu pelajar melanjutkan pengajian.
Tiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong berkata, kerajaan mahu memastikan setiap anak Sarawak mempunyai peluang yang adil untuk mendapatkan pendidikan berkualiti dan mencapai cita-cita tanpa mengira latar belakang keluarga.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa dan guru yang sentiasa membimbing serta menyokong anak-anak sehingga mencapai kejayaan dalam bidang akademik.
Katanya, di sebalik kejayaan seseorang pelajar, terdapat pengorbanan, masa, dorongan, nasihat dan doa daripada ibu bapa serta guru yang tidak pernah berputus asa mempercayai kebolehan mereka.
“Kepada semua penerima insentif, jadikan penghargaan ini sebagai semangat untuk terus belajar dengan lebih gigih. Jangan cepat berpuas hati.
“Gunakan peluang yang ada untuk mencapai cita-cita dan apabila berjaya nanti, jangan lupa kembali menyumbang kepada pembangunan Sarawak dan negara,” ujarnya lagi.
Beliau yakin anak-anak Sarawak mempunyai potensi besar untuk menjadi pemimpin, golongan profesional, usahawan dan tenaga mahir yang akan membawa Sarawak ke tahap pembangunan yang lebih tinggi.
Turut hadir ialah Pengerusi STU Bahagian Sibu, Kho Kiat Yong.
Oleh Akun Giman





