Teknologi, inovasi pacu produktiviti pekebun lada

Facebook
WhatsApp
DATUK Seri Dr. Noraini Ahmad dan Dato’ Sri Huang Tiong Sii bergambar bersama selepas lawatan ke kebun lada di Nanga Langu, hari ini. Foto Pusat Khidmat Parlimen Sarikei

JULAU: Penggunaan teknologi, mekanisasi dan inovasi di peringkat ladang perlu terus diperkasakan bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan pengurusan tanaman serta pendapatan pekebun lada.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, pendekatan itu penting dalam usaha memperkukuh daya saing industri lada negara supaya terus berkembang seiring  kemajuan teknologi pertanian.

Katanya, lawatan turun padang tersebut memberi peluang kepada kepimpinan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melihat sendiri secara dekat perkembangan tanaman lada dan memahami cabaran dan keperluan pekebun.

DATO’ Sri Huang Tiong Sii menuai lada di kebun lada milik Nalong Jantan di Nanga Langu, hari ini. Foto Pusat Khidmat Parlimen Sarikei

“Pendekatan bersemuka dengan komuniti pekebun kecil penting bagi memastikan inisiatif pembangunan agrikomoditi yang dilaksanakan kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada golongan tersebut.

“Sepanjang lawatan, delegasi KPK turut menyaksikan demonstrasi penggunaan aplikasi Dr. Lada, selain penerangan mengenai Projek Piperspectral dan demonstrasi penerbangan dron,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengiringi Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam lawatan kerja ke kebun lada milik Nalong Jantan di Nanga Langu, hari ini.

DATUK Seri Dr. Noraini Ahmad dan Dato’ Sri Huang Tiong Sii melihat hasil tuaian lada di kebun lada Nalong Jantan di Nanga Langu, hari ini. Foto Pusat Khidmat Parlimen Sarikei

Huang, yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, berkata mereka turut diberi pendedahan mengenai teknologi fertigasi dan Internet Pelbagai Benda (IoT), serta penggunaan peralatan pemprosesan lada di peringkat ladang.

“Penerapan teknologi sedemikian berupaya membantu pekebun menguruskan tanaman dengan lebih cekap, selain meningkatkan produktiviti dan memperkukuh proses pengeluaran.

“Pemodenan di peringkat ladang juga penting supaya pekebun kecil tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi dan dapat memanfaatkan inovasi bagi menghasilkan pulangan yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu katanya, KPK akan terus memperkukuh kerjasama dengan Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan komuniti pekebun dalam usaha memacu industri lada ke arah lebih moden, produktif dan berdaya saing.

Oleh Earl Anek

Sekolah di Serian dibuka semula esok

KUCHING: Semua sekolah menengah dan rendah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian akan beroperasi seperti sediakala mulai esok. Jabatan