JAKARTA, Indonesia: Gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 melanda perairan berhampiran Pulau Flores di timur Indonesia, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
USGS memaklumkan pusat gempa berada di perairan pantai utara pulau itu, kira-kira 68 kilometer (42 batu) barat laut Ende.
Gempa berkenaan berlaku pada kedalaman yang agak cetek, iaitu hanya 10 kilometer.
Gempa awal itu diikuti dua gegaran susulan kuat di kawasan sama, masing-masing bermagnitud 5.6 dan 5.9.
Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) memberi amaran mengenai kemungkinan berlakunya gelombang tsunami susulan gempa berkenaan.
Indonesia dan negara jiran kerap dilanda gempa bumi berikutan kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik, iaitu kawasan aktiviti seismik tinggi yang membentang dari Jepun melalui Asia Tenggara dan merentasi lembangan Pasifik. – AFP





