KKM tidak kompromi kelewatan projek, sedia tamatkan kontrak – Dzulkefly

Facebook
WhatsApp
MENTERI Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Foto Facebook Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan berkompromi dengan kelewatan tidak munasabah projek pembangunan fasiliti kesihatan di seluruh negara, termasuk bersedia menamatkan kontrak kontraktor yang gagal menunjukkan kemajuan fizikal meyakinkan di tapak.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata tindakan itu penting bagi memastikan projek yang dirancang dapat disiapkan mengikut keperluan dan manfaatnya segera dinikmati rakyat, selain mengelakkan pembaziran wang awam.

“Fokus utama saya dan pasukan KKM adalah untuk meneliti dan memantau rapi lebih 1,300 projek pembangunan fasiliti kesihatan di seluruh negara. Saya mahu pastikan setiap perancangan ini bukan hanya cantik di atas kertas, tetapi manfaatnya mesti segera sampai kepada rakyat di bawah,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata perkara itu antara yang diberi perhatian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian (MTPK) KKM Bilangan 2 Tahun 2026 pagi tadi yang turut dihadiri wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Kewangan.

Dzulkefly berkata, KKM turut bekerjasama dengan JKR, kerajaan negeri dan syarikat utiliti bagi merungkai masalah yang menjejaskan pelaksanaan projek di peringkat akar umbi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata 10 fasiliti kesihatan utama telah siap setakat Ogos, termasuk Pusat Darah Wilayah Utara di Kedah, Blok Tambahan Hospital Tuanku Ampuan Najihah di Negeri Sembilan dan Klinik Kesihatan Manjoi di Perak.

Dzulkefly berkata di bawah inisiatif Cakna MADANI pula, 268 projek atau 37.75 peratus telah siap, antaranya membabitkan peningkatan keselesaan klinik desa, penambahan kapasiti pusat hemodialisis serta penggantian peralatan usang.

“Insya-Allah, saya akan pastikan setiap sen peruntukan kesihatan negara diterjemahkan kepada sistem penjagaan kesihatan yang lebih saksama, moden dan selesa untuk anda semua. Doakan usaha kami dipermudahkan,” katanya. – Bernama