LAWAS, 6 Oktober: Sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Lawas berjaya memusnahkan sarang tebuan yang dianggarkan sebesar bola tampar dan berada berhampiran kediaman penduduk di Kampung Sualai, Jalan Punang, semalam.
Operasi berkenaan dijalankan selepas pihak APM menerima maklumat berhubung kewujudan sarang tebuan yang berada di atas sebatang pokok berhampiran rumah seorang penduduk di kawasan berkenaan.
APM Lawas menerusi satu perkongsian di laman rasmi memaklumkan seramai tiga anggota telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan tindakan pemusnahan sarang tebuan tersebut.
“Setibanya di lokasi, anggota mendapati sarang tebuan berukuran kira-kira sebesar bola tampar berada di atas sebatang pokok berhampiran rumah pengadu.
“Pasukan MyASPA-03 kemudiannya menjalankan tindakan pemusnahan sarang tebuan menggunakan teknik pembakaran dengan bantuan galah.

“Tindakan berkenaan berjaya dilaksanakan dengan selamat dan keadaan di lokasi didapati terkawal,” menurut kenyataan itu hari ini.
Operasi tersebut dilaksanakan bagi memastikan sarang tebuan berkenaan tidak lagi menimbulkan risiko kepada penduduk, khususnya mereka yang tinggal berhampiran lokasi kejadian.
Pemusnahan sarang berjaya diselesaikan tanpa sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan, manakala keadaan di sekitar lokasi turut didapati selamat dan terkawal selepas operasi selesai dijalankan.
Orang ramai yang berdepan situasi kecemasan atau memerlukan bantuan berkaitan ancaman serangga berbisa boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Lawas di talian 085-262073.
Oleh Adeng Edrus




