PETRA JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM692,000 bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), hari ini.
Penyerahan zakat itu disempurnakan Pengerusi Majlis Pengawasan Syariah Kumpulan Bank Islam, Ir Dr Muhamad Fuad Abdullah kepada Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha dan disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini.
Ketua Pegawai Syariah dan Kelestarian Kumpulan Bank Islam, Mohd Nazri Chik berkata, pembayaran zakat berkenaan mencerminkan komitmen berterusan institusi perbankan itu dalam menyumbang kepada pembangunan ummah di Sarawak sejak mula beroperasi di negeri ini pada 1984.
Menurutnya, peningkatan pembayaran zakat dari tahun ke tahun turut didorong sokongan berterusan masyarakat Sarawak terhadap Bank Islam serta perkembangan operasi perbankan Islam di negeri ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pertemuan bersama Premier Sarawak turut membincangkan potensi kerjasama antara Bank Islam dan kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan wakaf.
Katanya, Bank Islam menyambut baik penubuhan Yayasan Wakaf Sarawak pada tahun lalu dan bersedia menyokong usaha kerajaan Sarawak memperluas peranan wakaf agar mampu memberi impak lebih besar kepada masyarakat serta ekonomi negeri.
“Hasratnya adalah supaya Bank Islam dapat bekerjasama dengan kerajaan Sarawak untuk melahirkan projek-projek utama yang bukan sahaja memberikan manfaat kepada rakyat Sarawak, tetapi turut memberi motivasi supaya wakaf tidak hanya kekal sebagai instrumen pembangunan masjid, tanah kubur dan sebagainya.
“Sebaliknya, wakaf juga mampu memberikan impak ekonomi yang lebih besar kepada rakyat,” katanya ketika ditemui media selepas majlis penyerahan zakat berkenaan.
Turut hadir, Ketua Pegawai Staf Bank Islam, Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff.





