MIRI: Misteri kehilangan seorang lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Long Moh, Ulu Baram, berakhir selepas mayat mangsa ditemukan penduduk kampung, pagi tadi.
Mangsa ditemukan kira-kira 8.20 pagi oleh penduduk Kampung Long Tungan, kira-kira dua kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat sebelum dipercayai tenggelam pada 12 Ogos lalu.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Sarawak, penemuan itu kemudian dilaporkan kepada pihak Polis dan Bomba di Staging Point sebelum pasukan SAR bersama anggota polis bergerak ke lokasi.

“Setibanya di lokasi kira-kira 9.00 pagi, anggota bomba dan polis mengesahkan penemuan mangsa sebelum mengangkat mayat mangsa.
“Mayat kemudian dibawa ke kampung untuk pengesahan identiti oleh ahli keluarga,” menurut kenyataan PGO.
Keluarga mangsa kemudiannya mengesahkan mayat berkenaan ialah Jonny yang dilaporkan lemas pada kira-kira 3.00 petang, 12 Ogos lalu.
Operasi SAR memasuki hari kedua hari ini dengan membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, PDRM, penduduk kampung, anggota klinik serta RELA.
Seramai kira-kira 70 penduduk kampung turut membantu operasi menggunakan 40 perahu, manakala PDRM menyertai operasi dengan tiga anggota dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Oleh Liong Chai Ling





