NEW DELHI: Air India mengarahkan ujian dadah dilaksanakan ke atas semua juruterbangnya, beberapa hari selepas seorang kapten yang didapati bertanggungjawab dalam insiden gelora udara (turbulence) disahkan positif ganja, lapor Xinhua memetik beberapa media tempatan pada Khamis.
Menurut saluran berita televisyen tempatan NDTV, ujian berkenaan diwajibkan ke atas juruterbang Air India dan Air India Express.
Ujian itu akan dijalankan serentak dengan sesi latihan di akademi Gurugram, selain selepas penerbangan di pusat taklimat penerbangan dan pejabat Air India, menurut laporan media.
Awal bulan ini, 17 orang termasuk empat kru kabin cedera selepas sebuah penerbangan Air India dari Phuket ke Delhi mengalami gelora udara.
Pesawat itu kehilangan ketinggian kira-kira 300 kaki, sekali gus mencetuskan detik cemas dalam kalangan penumpang.
Pada Rabu, juruterbang yang bertindak sebagai ketua penerbangan disahkan positif ganja menerusi ujian pengesahan bagi bahan psikoaktif.
Menurut laporan, juruterbang itu turut didapati positif dalam ujian dadah yang dijalankan sejurus selepas pesawat mendarat. – Bernama-Xinhua




