KUCHING: Panggilan kes kebakaran terbuka yang diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menunjukkan penurunan ketara dalam tempoh tiga hari sejak 11 Ogos hingga semalam.
Timbalan Pengarah JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, perkembangan positif itu turut didorong peranan media dalam membantu agensi berkaitan menyampaikan kesedaran orang ramai mengenai kesan negatif pembakaran terbuka, khususnya ketika Sarawak berdepan jerebu rentas sempadan.
Bagaimanapun katanya, kebakaran hutan, belukar dan tanah gambut berskala besar menunjukkan peningkatan dengan kejadian terbaharu dilaporkan di Kampung Bangkuati, Limbang.
“Ketika ini, operasi pemadaman melibatkan tiga lokasi iaitu Jalan Kejatau-Lingga, Sri Aman; Kampung Kut, Pulau Bruit, Daro dan Kampung Bangkuati, Limbang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman kebakaran hutan di Jalan Kejatau-Lingga kini memasuki hari kelima dengan penambahan aset dan anggota dilaksanakan sejak Khamis.
Katanya, operasi itu turut mendapat bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sri Aman, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) serta pekerja ladang kelapa sawit berhampiran.
“Usaha pemadaman dijangka berterusan untuk beberapa hari lagi dan teknik pembanjiran menyeluruh dilihat dapat membantu mempercepatkan kerja pemadaman, khususnya membabitkan kawasan tanah gambut,” katanya.
Sementara itu, kebakaran di Kampung Kut, Pulau Bruit, berdepan kekurangan sumber air dan kekangan bantuan logistik, termasuk jengkaut, menyebabkan api merebak ke kawasan yang lebih luas.
Beliau berkata, JBPM telah bekerjasama dengan Pejabat Daerah Daro bagi mendapatkan tambahan bantuan logistik supaya operasi pemadaman dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.





