DARO: Angin kencang menyebabkan api cepat merebak, kekurangan sumber air, jalan akses sempit dan liputan GIRN kurang memuaskan merupakan antara cabaran yang dihadapi oleh pasukan bomba semasa menjalankan operasi memadam kebakaran hutan di Kampung Kut.
Kebakaran tersebut semakin mencemaskan semalam, apabila api yang marak menghampiri Sungai Batang Lassa dan menghala terus ke stesen minyak memaksa pasukan bomba bertungkus-lumus membina benteng api bagi mengekang kemaraan kebakaran.

Ketua Polis Daerah Matu Daro, DSP Rahim Mihos menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat pembakaran terbuka memandangkan cuaca kering dan keadaan tanah gambut yang mudah terbakar.
“Dalam keadaan cuaca kering ketika ini, saya menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat pembakaran terbuka, tanah gambut sukar dipadam jika berlaku kebakaran,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Sarawak, pagi ini.

Terdahulu Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerusi kenyataannya petang semalam memberitahu, kebakaran dipercayai bermula dari sebuah kebun sebelum merebak menghampiri Sungai Batang Lassa dan menghala ke stesen minyak Buraq.
Pemantauan menggunakan dron oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) mendapati anggaran keseluruhan kawasan terjejas akibat kebakaran adalah kira-kira 28 hektar.
Setakat semalam, daripada keseluruhan 28 hektar kawasan kebakaran, kira-kira 15 hektar berjaya dipadamkan, manakala baki 13 hektar masih dalam pemantauan dan operasi pemadaman.
Oleh Akun Giman





