PUSA: Seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira 4.6 meter berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Debak selepas ditemui bersembunyi di bawah stor sebuah rumah di Kampung Tengah Pusa, Lorong 8A, malam ini.
Menurut kenyataan media APM Daerah Debak, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 10.00 malam yang memohon bantuan menangkap ular berkenaan.
Susulan panggilan itu, empat anggota APM Daerah Debak bergerak ke lokasi pada jam 10.03 malam dan tiba kira-kira 32 minit kemudian, dengan jarak perjalanan sejauh 27 kilometer.
Setibanya di lokasi, anggota mendapati seorang wanita dewasa berada di luar rumah dalam keadaan ketakutan berikutan kemunculan ular berkenaan di bawah stor rumahnya.

Empat anggota APM kemudian menjalankan pencarian bagi mengesan kedudukan reptilia terbabit.
Selepas beberapa minit melakukan pencarian, anggota akhirnya berjaya menemui ular berkenaan yang dipercayai daripada spesies sawa batik.
Ular yang dianggarkan sepanjang 4.6 meter itu kemudian berjaya dijerut menggunakan peralatan penjerut dan penyepit yang dibawa oleh anggota.
Operasi menangkap ular tersebut selesai sekitar 11.00 malam tanpa sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan.
APM Daerah Debak mengerahkan empat anggota lain-lain pangkat (LLP) dalam operasi berkenaan, selain menggunakan sebuah ambulans pacuan empat roda.
Operasi turut disokong dengan peralatan seperti dua penjerut, tiga helmet keselamatan dan tiga pasang sarung tangan bagi memastikan keselamatan anggota sepanjang operasi.
Kejayaan menangkap ular terbabit sekali gus memberi kelegaan kepada penghuni rumah yang sebelum itu cemas dengan kehadiran reptilia berkenaan berhampiran kediaman mereka.
Oleh Adi Safarman



