DARO: Kebakaran hutan di Kampung Kut, di sini, yang memasuki hari keempat operasi pemadaman kini meliputi kawasan seluas kira-kira 28 hektar, dengan 15 hektar berjaya dipadam setakat hari ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, kebakaran yang bermula dari sebuah kebun itu merebak menghampiri Sungai Batang Lassa dan menghala ke Stesen Minyak Buraq.
Katanya, pemantauan menggunakan dron oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) mendapati anggaran keseluruhan kawasan terjejas akibat kebakaran adalah kira-kira 28 hektar.
“Komander Operasi mengarahkan anggota membentangkan dua aliran dengan dua pancutan menggunakan hos Forest Pump bagi mewujudkan fire break dan menghalang api daripada merebak menghampiri Stesen Minyak Buraq.
“Aliran pertama menggunakan empat gulung hos Forest Pump sepanjang 200 kaki dengan satu pancutan, manakala aliran kedua menggunakan enam gulung hos sepanjang 300 kaki dengan satu pancutan,” katanya dalam kenyataan operasi hari keempat, hari ini.
Menurutnya, sumber air terdekat diperoleh dari parit berhampiran jalan utama bagi membantu operasi pemadaman.
Operasi turut dibantu lima anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Daro.
JBPM berkata, kebakaran berjaya dikawal sebelum operasi ditangguhkan berikutan keadaan cuaca yang semakin gelap serta faktor keselamatan anggota berikutan keadaan kawasan kebun dan belukar.
“Operasi akan disambung pada esok hari,” katanya.
Setakat ini, daripada keseluruhan 28 hektar kawasan kebakaran, kira-kira 15 hektar berjaya dipadamkan, manakala baki 13 hektar masih dalam pemantauan dan operasi pemadaman.
Antara cabaran dihadapi pasukan bomba ialah liputan GIRN yang kurang memuaskan, angin kencang menyebabkan api cepat merebak, kekurangan sumber air serta akses jalan yang sempit.
Operasi melibatkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro dengan kekuatan sebuah jentera CFRT dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Hilux.
Turut berada di lokasi ialah lima anggota PBS Daro, dua anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sibu dan dua anggota NREB Mukah.
Oleh Akun Giman





