ADUN Lingga ziarah mangsa kebakaran, sampaikan sumbangan

Facebook
WhatsApp
DAYANG Noorazah menziarahi keluarga yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Tengah, di sini, hari ini. Foto ADUN Lingga

SIMANGGANG: Keprihatinan terhadap keluarga yang terjejas akibat kebakaran dizahirkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor menerusi kunjungan ziarah ke kediaman mangsa di Kampung Tengah, di sini, hari ini.

Lawatan itu diadakan bagi  meninjau sendiri keadaan mangsa selepas rumah dua tingkat milik Limah Awang Bakri terbabit dalam kebakaran petang semalam, selain menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban mereka.

Dalam kejadian kira-kira 1.31 petang itu, kebakaran hanya melibatkan bahagian siling dapur rumah berkenaan dan tidak menyebabkan kehilangan nyawa atau kecederaan.

Dayang Noorazah ketika kunjungan itu turut bertanya khabar serta meninjau keadaan kediaman yang terjejas, di samping menyampaikan sumbangan sebagai tanda keprihatinan terhadap keluarga mangsa.

DAYANG Noorazah menziarahi keluarga yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Tengah, di sini, hari ini. Foto ADUN Lingga

Turut turun padang ialah Pemuda Persatuan Che Chuan Kor Simanggang yang tampil membantu serta menghulurkan sumbangan bakul makanan kepada keluarga terbabit.

Baitulmal Bahagian Sri Aman turut hadir menyampaikan sumbangan bakul makanan bagi membantu meringankan keperluan keluarga selepas kejadian.

Dayang Noorazah turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sri Aman, Polis Diraja Malaysia (PDRM), penduduk kampung serta semua pihak yang bertindak pantas membantu ketika kejadian.

Beliau berharap bantuan yang disalurkan dapat sedikit sebanyak meringankan beban keluarga terlibat serta membantu melancarkan urusan pemulihan kediaman mereka.

Terdahulu, tindakan pantas penduduk kampung berjaya mengawal dan memadamkan kebakaran sebelum ketibaan pasukan bomba, sekali gus menyelamatkan rumah struktur kekal berkenaan daripada mengalami kemusnahan lebih besar.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak memaklumkan, pasukan bomba tiba di lokasi pada 1.38 petang dan mendapati kebakaran telah dipadamkan sepenuhnya oleh penduduk kampung.

Menurut JBPM, kebakaran hanya melibatkan bahagian siling dapur dengan anggaran kemusnahan kira-kira lima peratus daripada keseluruhan struktur bangunan.

Oleh Adi Safarman