Polis Kuching tangkap lelaki, rampas 6.10 gram syabu di Bako Hulu

Facebook
WhatsApp
DADAH yang berjaya dirampas daripada lelaki tempatan yang ditahan.

KUCHING: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun dan merampas 6.10 gram dadah disyaki methamphetamine dalam satu operasi di Kampung Bako Hulu, di sini pada 12 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, suspek ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching kira-kira 12.00 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan 6.10 gram dadah disyaki methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM305,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alexson berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif daripada sebarang jenis dadah, manakala semakan rekod juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, suspek direman selama empat hari dari 14 hingga 17 Ogos di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun serta sebatan tidak kurang tiga dan tidak lebih sembilan kali,” katanya.

Alexson berkata, kejayaan tangkapan itu adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah. Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti berkaitan dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada talian hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di 012-208 7222 atau hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211.