SIBU: Dua lelaki tempatan ditahan selepas sebuah lori treler yang dipercayai membawa sebuah jengkaut disyaki dicuri dikesan di Jalan Oya, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, sekitar 4.15 petang, Unit Kereta Polis dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu yang bertindak berdasarkan maklumat daripada pusat kawalan telah mengesan dan menahan lori treler berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut telah menahan dua lelaki tempatan berumur 30 dan 32 tahun untuk membantu siasatan. Sebuah lori treler dan sebuah jengkaut dipercayai dicuri telah dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri kenderaan bermotor yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara satu tahun atau maksimum tujuh tahun dan juga boleh dikenakan denda.
“Pihak polis menzahirkan penghargaan kepada orang awam yang telah menyalurkan maklumat sehingga suspek berjaya ditangkap,” ujarnya.
Oleh Akun Giman





