KUCHING: Polis menahan seorang wanita warga asing berusia 24 tahun dan merampas 1.046 kilogram dadah disyaki syabu dalam serbuan di sebuah kedai minum di rumah kedai RPR Batu Kawa di sini, semalam.
Dia boleh menghadapi hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
Ketua Polis Padawan Superintendan Barry William berkata suspek, Wiwin Angraini, ditahan kira-kira 2.13 petang pada 12 Ogos lalu.
“Polis turut merampas satu bungkusan kurier Pos Laju berwarna kelabu yang mengandungi satu bungkusan plastik lutsinar bertulis ‘666’ berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.
“Dua telefon bimbit, masing-masing jenama Realme dan iPhone 16, turut dirampas,” katanya hari ini.
Barry berkata suspek yang tidak mempunyai rekod lampau turut didapati negatif dalam ujian saringan awal polis.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Oleh Connie Chieng





