BURGOS, Sepanyol: Gerhana matahari penuh menyebabkan kawasan luas di Sepanyol bertukar daripada siang kepada kegelapan, sekali gus mencetuskan sorakan kagum dan tepukan daripada orang ramai yang berkumpul di taman serta bandar di seluruh negara itu.
Fenomena astronomi yang amat jarang berlaku itu, meskipun hanya berlangsung seketika, paling lama sekitar dua minit memukau penduduk Sepanyol dan pelancong di sepanjang jalur kawasan dari Galicia hingga ke pantai Mediterranean serta Kepulauan Balearik.

Ketika cahaya perlahan-lahan malap di Tarragona, di pantai Mediterranean, orang ramai menyaksikan fenomena itu dalam suasana penuh khusyuk apabila cahaya jingga lewat petang beransur-ansur berubah menjadi kegelapan hampir sepenuhnya.
“Ini gila!” kata seorang wanita ketika orang ramai di sekelilingnya tiba-tiba bertepuk tangan dengan penuh semangat.
Ramai yang datang dari seluruh Catalonia untuk menyaksikan fenomena itu, terbawa-bawa dengan kemeriahan yang melanda Sepanyol sejak beberapa hari lalu menjelang gerhana berkenaan, yang pertama seumpamanya di negara itu dalam tempoh lebih satu abad.
“Sangat mengujakan,” kata Laura Alarcon, 53, seorang akauntan dari Tarragona.

“Saya tidak menjangkakan keadaan sebegini. Saya fikir ia tidak akan sehebat ini. Namun, suasana, keadaan dan persiapan yang dilakukan begitu baik. Saya sangat menyukainya! Dan cermin mata itu juga berfungsi!” katanya.
Berhampiran situ, Alejandro Cuesta, 30, seorang penyelidik nanosains yang datang dari Barcelona bersama ibunya, sukar menahan emosinya.
“Saya hampir menangis. Seluruh badan saya meremang. Ia sangat indah,” katanya.
Kira-kira 500 kilometer ke barat, bandar Lodoso turut dilanda keterujaan orang ramai.

Sorakan bergema apabila ratusan orang yang berkumpul di kawasan lapang yang terdedah kepada bahang matahari mendongak ke langit ketika kegelapan mula menyelubungi kawasan itu.
Namun, apabila Bulan menutupi Matahari sepenuhnya, sorakan bertukar menjadi kesunyian penuh kekaguman apabila penonton menumpukan perhatian kepada korona Matahari.
“Saya meremang bulu roma. Saya tidak menjangkakan cahaya seperti itu,” kata Marta Miguel Tobrar, 48, seorang ilustrator yang berkunjung bersama keluarganya dari Burgos, yang terletak berhampiran.

Sebahagian daripada mereka menunggu sepanjang petang dalam cuaca panas terik dengan hanya bernaung di bawah payung, manakala mereka yang membuat persiapan rapi turut membawa teleskop.
Di lokasi itu, arahan dipaparkan dalam beberapa bahasa, termasuk Perancis, Korea, Poland, Jerman dan Inggeris, bagi membantu orang ramai mengatur kedudukan.
Pada permulaan gerhana separa, ketika Bulan mula menutupi Matahari sekitar 5.30 petang GMT, beberapa orang menjerit, “Wow!” kerana tidak sabar menyaksikan fenomena yang bakal berlaku.

Sekumpulan pelancong Korea Selatan pula bertepuk tangan dengan penuh semangat.
Suasana mengharukan itu dirakam menerusi telefon bimbit yang diangkat oleh orang ramai untuk merakam gambar dan video detik berkenaan.
Detik Yang Unik
Di pusat peranginan tepi laut Palma de Mallorca di Kepulauan Balearik, pelancong, termasuk ramai yang memakai pakaian renang dan sebahagiannya berdiri di dalam air, menyaksikan gerhana itu dengan teliti sambil mengenakan cermin mata pelindung.
Di beberapa kawasan lain di Sepanyol yang dilalui bayangan gerhana, termasuk bandar Colmenar Viejo berhampiran Madrid, kemeriahan yang sama turut dirasai.
“Menakjubkan, sangat indah, benar-benar detik yang unik,” kata Rosa Maria Zamora, 72, seorang pesara yang datang dari Madrid.
“Tidak baik untuk mata jika melihat terlalu lama, tetapi ia menakjubkan. Sangat indah!” katanya.
Sebelum itu, pada minit-minit awal gerhana separa, sekumpulan kanak-kanak lelaki menjerit, “Ia bermula! Ia bermula!”
“Alangkah indahnya,” kata seorang wanita dalam kalangan orang ramai.
Di Madrid, gerhana itu tidak berlaku secara penuh, tetapi litupan Matahari mencapai lebih 99 peratus, menyebabkan ibu negara Sepanyol itu dilanda kegelapan hampir sepenuhnya untuk beberapa ketika.
Di taman Kuil Amun, berhampiran pusat bandar, ratusan penonton berkumpul meskipun berdepan bahang panas Ogos yang terik.
Suasana keterujaan yang sama turut dirasai di bukit Montjuic yang menjadi antara mercu tanda Barcelona, apabila ratusan orang berkumpul untuk menyaksikan fenomena berkenaan.
Menjelang esok, bersama jutaan orang lain, mereka akan dapat berkata: “Saya telah menyaksikannya!” – AFP




