Cermin mata khas habis dijual di Britain menjelang gerhana matahari

Facebook
WhatsApp
CERMIN mata khas boleh memberikan perlindungan kepada mereka yang ingin menyaksikan gerhana matahari. Foto Agensi

LONDON: Cermin mata khas untuk melihat gerhana matahari habis dijual di peruncit utama di United Kingdom (UK) ketika rakyat Britain membuat persiapan menyaksikan gerhana matahari terbaik dalam tempoh beberapa dekad, lapor PA Media/dpa.

Lebih 90 peratus matahari akan dilitupi bulan antara 6.17 petang hingga 8.06 malam (1717-1906 GMT) hari ini, iaitu litupan paling besar yang dapat dilihat di ruang udara UK sejak gerhana matahari penuh pada 1999.

Kedai serbaneka, taman negara dan Balai Cerap Diraja Greenwich masing-masing telah kehabisan stok cermin mata khas menjelang fenomena itu, yang merupakan gerhana matahari paling besar dapat dilihat di negara berkenaan dalam tempoh 54 tahun akan datang.

Balai Cerap Diraja Greenwich memberitahu Press Association bahawa pihaknya menjual kira-kira 15,000 pasang cermin mata gerhana sepanjang bulan lalu, kesemuanya habis dijual.

Sementara itu, pengguna diberi amaran supaya tidak menggunakan cermin mata tiruan untuk menyaksikan fenomena itu, manakala pakar oftalmologi mengingatkan orang ramai supaya tidak melihat terus ke arah matahari kerana walaupun pendedahan singkat boleh menyebabkan kerosakan kekal pada penglihatan.

Pakar berkata hanya cermin mata gerhana matahari khas yang diperakui mengikut piawaian ISO 12312-2 sesuai digunakan bagi memastikan perlindungan mata yang selamat, manakala cermin mata hitam biasa tidak mencukupi.

Selepas gerhana matahari penuh pada 1999, Kolej Pakar Oftalmologi Diraja melaporkan kira-kira 70 kes masalah penglihatan akibat melihat fenomena itu.

Kira-kira 40 peratus daripada mereka melihat gerhana berkenaan kurang daripada seminit.

Perunding oftalmologi dan Presiden Kolej Pakar Oftalmologi Diraja, Mohamed Elalfy berkata: “Cara paling selamat untuk menikmati gerhana matahari ialah dengan memerhatikannya secara tidak langsung, seperti menerusi siaran langsung.

“Melihat terus ke arah matahari semasa gerhana matahari boleh menyebabkan kerosakan pada retina, sekali gus menjejaskan sel yang bertanggungjawab terhadap penglihatan pusat yang tajam.

“Yang penting, retina tidak mempunyai reseptor kesakitan, jadi seseorang itu tidak akan merasakan kerosakan yang sedang berlaku.

“Gejala mungkin hanya muncul beberapa jam kemudian, termasuk penglihatan kabur, tompok buta atau gelap di bahagian tengah penglihatan, penglihatan terherot, penurunan keupayaan melihat warna dan peningkatan kepekaan terhadap cahaya.

“Walaupun ada yang pulih dalam tempoh beberapa minggu atau bulan, ada juga yang mengalami masalah penglihatan kekal.”

Devon, Cornwall dan bahagian paling barat Pembrokeshire di Wales dijangka menyaksikan gerhana itu pada tahap maksimum, dengan antara 94 hingga 96 peratus matahari dilitupi bulan.

Menurut Met Office, Plymouth dijangka mencatat litupan terbesar apabila bulan melitupi 94.66 peratus matahari pada 7.16 malam Rabu.

Selebihnya di Wales, Ireland Utara, beberapa kawasan di West Midlands dan South West, serta bahagian paling barat Scotland dijangka menyaksikan litupan antara 92 hingga 94 peratus.

Di Cardiff, bulan dijangka melitupi 93.24 peratus matahari pada 7.13 malam, manakala di Belfast sebanyak 93.09 peratus pada 7.08 malam.

Di kawasan lain di UK, bulan dijangka melitupi antara 90 hingga 92 peratus matahari, termasuk 91.79 peratus di Birmingham pada 7.12 malam, 91.41 peratus di London pada 7.13 malam, 90.74 peratus di Inverness pada 7.03 malam, 90.71 peratus di Edinburgh pada 7.06 malam dan 90.22 peratus di Newcastle pada 7.07 malam.

Mereka yang ingin menyaksikan gerhana matahari dengan litupan paling besar dinasihatkan mengelakkan bahagian paling timur UK kerana kawasan itu hanya dijangka mengalami litupan antara 88 hingga 90 peratus.

Kawasan berkenaan termasuk pesisir Norfolk, Yorkshire dan Aberdeenshire, serta Kepulauan Orkney dan Shetland.

Sebagai tambahan, peminat astronomi turut berpeluang menyaksikan kemuncak hujan meteor Perseid pada malam 12 hingga 13 Ogos, beberapa jam selepas gerhana matahari.

Hujan meteor itu berlaku apabila Bumi merentasi laluan debu yang ditinggalkan oleh Komet Swift-Tuttle.

Setiap butiran debu itu memasuki atmosfera Bumi pada kelajuan kira-kira 60 kilometer sesaat sebelum terbakar dan menghasilkan pancaran cahaya singkat yang kelihatan seperti bintang jatuh. – Bernama

Gerhana matahari penuh memukau di Eropah

BURGOS, Sepanyol: Jutaan penduduk Eropah dijangka menatap langit dengan penuh kagum apabila fenomena gerhana matahari penuh yang jarang berlaku merentasi