SIBU: Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee menyeru penjaja dan peniaga kecil dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Sibu (MPS) supaya segera memohon lesen atau permit berniaga sementara.
Jelasnya, ini bagi melayakkan mereka menerima Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0 yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri baru-baru ini.
“Setiap permohonan akan disemak oleh pihak MPS dan jika semua menepati syarat ditetapkan, setiap pemohon akan diberikan permit berniaga sementara yang sah sehingga November ini.
“Mereka yang tidak memiliki lesen harus segera memohon. Setelah diperiksa oleh pihak MPS, mereka akan diberikan permit sementara yang akan sah hingga November, agar mereka memenuhi syarat untuk pembayaran BKSS 6.0,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi forum khas di Facebook rasminya mengenai bantuan BKSS 6.0 untuk penjaja dan peniaga kecil di sini.
Forum itu turut disertai oleh Pengerusi MPS Clarence Ting, Pengerusi Jawatankuasa Pasar dan Peniaga Kecil MPS Kaunselor Albert Tiang dan yang lain.
Beliau berkata, pakej bantuan akan memperuntukan setiap penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar RM1,500, yang mana RM750 akan dibayar bulan depan, dan RM750 lagi pada bulan Disember.
“Saya ingin menjelaskan bahawa para peniaga yang memiliki lesen yang sah dari MPS tidak perlu risau kerana pihak MPS akan mengemukakan kepada pihak berkuasa yang berkenaan agar geran khas itu akan dibayarkan kepada mereka dalam dua tahap.
“Jadi, mereka tidak perlu membuat permohonan baru,” ujarnya.
“Bagi mereka yang lesen perniagaannya telah tamat tempoh, mereka harus melalui seluruh proses seolah-olah mereka mengemukakan permohonan lesen baru,” tambahnya lagi.
Sehubungan itu jelasnya, forum itu diadakan sebagai platform bagi pihak berkenaan untuk membincangkan kriteria kelayakan dan cara untuk memohon bantuan BKSS yang diperuntukan untuk penjaja dan peniaga kecil.
“Kami tidak mahu menghadapi masalah seperti tidak melengkapkan permohonan, tidak mempunyai akaun Sarawak Pay dan masalah lain, setelah tarikh pendaftaran BKSS 6.0 ditutup pada 30 Jun ini.
“Saya rasa sudah tiba masanya kita membantu seberapa banyak yang boleh selagi mereka (peniaga) benar-benar memerlukan,” katanya.
Mengenai pengusaha kecil yang beroperasi dari rumah seperti membuat kuih atau biskut, Dr Annuar mengatakan mereka perlu menunjukkan bukti pengeluaran dan penghantaran barang mereka secara fizikal untuk memohon bantuan tersebut.
Oleh NURZILLA MOHAMAD