KUCHING: Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu mengesahkan bahawa polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian disyaki menceroboh kawasan kediaman sebuah kondominium di Jalan Patingan, di sini.
Beliau berkata polis menerima laporan daripada seorang lelaki pada kira-kira 1.08 petang, 10 Ogos lalu berhubung kejadian yang dilaporkan berlaku pada 11.35 pagi hari sama.
“Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kuching menahan suspek pada kira-kira 1.40 petang, 11 Ogos lalu dan merampas beberapa barang kes bagi membantu siasatan,” katanya.
Alexson berkata semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan jenayah, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Beliau menasihatkan orang ramai, khususnya pihak pengurusan premis kediaman, supaya memastikan pintu akses ditutup dan dikunci dengan sempurna serta tidak membenarkan individu tidak dikenali memasuki kawasan larangan.
“Sebarang aktiviti mencurigakan hendaklah segera disalurkan kepada Bilik Gerakan IPD Kuching di talian 082-244444,” katanya.
Oleh Connie Chieng




