80 hektar belukar terbakar, operasi pemadaman Jalan Kejatau disambung esok

Facebook
WhatsApp
KEBAKARAN belukar di Jalan Kejatau, Simanggang memasuki hari kedua dan menjejaskan kira-kira 80 hektar kawasan. Foto BBP Sri Aman

SIMANGGANG: Operasi memadam kebakaran belukar di Jalan Kejatau memasuki hari kedua hari ini dengan kira-kira 80 hektar kawasan terjejas akibat kebakaran.

Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata, operasi yang bermula pada 8.47 pagi itu dikendalikan anggota dari Pejabat Zon 3 dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dengan bantuan beberapa agensi lain.

Menurutnya, setibanya pasukan di lokasi, pihaknya mendapati kebakaran masih berlaku di kawasan belukar yang dianggarkan seluas 80 hektar.

“Operasi pemadaman dibahagikan kepada dua sektor bagi membolehkan tindakan dilakukan secara lebih berkesan.

“Di Sektor 1, satu aliran sepanjang 400 kaki dengan dua nozel digunakan, manakala sumber air diperoleh daripada tangki air ke empangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak.

OPERASI memadam kebakaran belukar di Jalan Kejatau memasuki hari kedua hari ini. Foto BBP Sri Aman

Beliau berkata, Sektor 2 pula menggunakan dua aliran melalui pam kebakaran hutan, dengan sumber air terbuka dari parit berhampiran.

Dalam operasi itu, dua jengkaut Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sri Aman turut digunakan, masing-masing bagi menggali parit untuk mendapatkan sumber air dan membina fire break bagi menghalang api daripada terus merebak.

“Sehingga operasi dikawal pada 7.30 malam, kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan kawasan kebakaran berjaya dipadamkan.

“Operasi ditangguhkan pada 7.45 malam dan akan disambung semula esok, 12 Ogos,” katanya.

ANGGOTA bomba menggunakan aliran air untuk memadam kebakaran belukar di Jalan Kejatau, Simanggang, hari ini. Foto BBP Sri Aman

Muhammad Rais berkata, operasi membabitkan 12 anggota daripada Pejabat Zon 3 dan BBP Sri Aman, selain turut mendapat bantuan empat anggota Jabatan Pengairan dan Saliran Sri Aman serta dua anggota Immune Belt Enforcement Team (IBET).

Katanya, antara cabaran dihadapi pasukan ialah keadaan cuaca dengan angin kencang yang menyebabkan api mudah merebak, selain kekurangan sumber air terbuka dan keadaan jalan masuk yang sempit.

Operasi berakhir sepenuhnya pada 8.01 malam selepas jentera bergerak pulang sebelum tiba di BBP Sri Aman pada 8.39 malam.

OPERASI pemadaman kebakaran belukar di Jalan Kejatau dibahagikan kepada dua sektor bagi membolehkan tindakan lebih berkesan. Foto BBP Sri Aman

Pasukan dijangka meneruskan operasi esok bagi memastikan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya dan mengelakkan api merebak ke kawasan berhampiran.

Oleh Adi Safarman