APM Debak pantas padam kebakaran belukar di kebun Kampung Lalang

Facebook
WhatsApp
KEBAKARAN belukar di sebuah kebun di Kampung Lalang, Debak berjaya dipadamkan anggota APM dengan bantuan penduduk setempat, petang tadi. Foto APM Debak

DEBAK: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Debak bertindak pantas memadam kebakaran belukar di sebuah kebun di Kampung Lalang, di sini, petang tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Debak, Leftenan Muda Mohd Hanif Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 2.57 petang sebelum empat anggota Skuad Alpha digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, anggota APM Debak tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian dan mendapati kawasan belukar di kebun berkenaan telah terbakar.

“Anggota APM Debak menjalankan operasi pemadaman dengan bantuan penduduk setempat bagi memastikan kebakaran tidak terus merebak ke kawasan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan mengenai kejadian itu.

ANGGOTA APM Debak bertindak pantas memadam kebakaran belukar di sebuah kebun di Kampung Lalang petang tadi. Foto APM Debak

Beliau berkata, operasi pemadaman selesai pada 3.25 petang. Katanya, jarak lokasi kejadian dari pangkalan APM Debak adalah kira-kira tiga kilometer.

“Punca kebakaran masih belum dikenal pasti. Hasil pemeriksaan juga mendapati tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut,” katanya.

Mohd Hanif turut menasihatkan orang awam supaya tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka, khususnya ketika keadaan cuaca panas dan kering, kerana ia boleh menyebabkan api merebak dengan cepat serta mengancam keselamatan kawasan sekitar.

Dalam kejadian itu, operasi melibatkan empat anggota APM Debak dengan sokongan peralatan keselamatan termasuk topi keledar dan sarung tangan.

Oleh Adi Safarman