KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong, menggesa pemeriksaan dan penyelenggaraan berkala terhadap pili bomba di Kuching susulan kebimbangan mengenai tekanan air rendah di lokasi kebakaran di Lorong 1W Foochow, hari ini.
Yong berkata, beliau berada di lokasi kejadian kira-kira 2.00 petang dan mendapati tekanan air pada pili bomba berkenaan kelihatan rendah.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai tahap kesiapsiagaan menghadapi kecemasan, khususnya ketika beberapa kawasan di Kuching dilaporkan berdepan tekanan air rendah sejak kebelakangan ini.

“Bomba perlu menjalankan pemeriksaan dan penyelenggaraan berkala terhadap semua pili bomba bagi memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan baik dan berfungsi dengan sempurna, sekali gus mampu menyediakan bekalan air yang mencukupi ketika kecemasan,” katanya.
Yong turut menggesa Sarawak Water Sdn Bhd mengambil langkah segera bagi meningkatkan dan mengekalkan tekanan air di seluruh Kuching.
Katanya, bekalan air yang mencukupi bukan sekadar soal kemudahan, sebaliknya penting untuk menjamin keselamatan awam, terutama ketika berlaku kebakaran.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian kebakaran, terutama dalam keadaan cuaca panas dan kering ketika ini.
Oleh Connie Chieng





