Jerebu: Serian 190, sekolah belum terjejas tetapi semakin menghampiri paras kritikal

Facebook
WhatsApp
IPU di Sarawak setakat 4.00 petang hari ini. Sumber NREB.

KUCHING: Kualiti udara di Sarawak masih belum menunjukkan tanda bertambah baik apabila 14 kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 4.00 petang ini.

IPD Serian mencatat bacaan tertinggi iaitu 190, hanya 11 mata daripada paras 201 yang menandakan kategori Sangat Tidak Sihat.

Bacaan itu turut menunjukkan Serian kini berada hampir pada paras yang boleh membawa implikasi terhadap operasi sekolah sekiranya IPU melebihi 200, apabila semua sekolah di kawasan atau daerah berkenaan perlu ditutup serta-merta mengikut garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM).

Selain Serian, Tebedu turut merekodkan bacaan tinggi iaitu 170, diikuti Samarahan (169), Kuching (166), Lubok Antu (165) dan Bintulu (159).

KEADAAN jerebu sekitar kawasan Serian. Foto Firna

Mukah dan Samalaju masing-masing mencatat IPU 155, manakala Sibu merekodkan 154, Sri Aman (154), Sarikei (153) dan Miri (145).

Turut berada pada tahap tidak sihat ialah ILP Miri dengan bacaan 119 dan Lundu (105).

Sementara itu, Kapit merekodkan bacaan 79, Limbang (73), Lawas (88) dan Bario (70), kesemuanya masih pada tahap sederhana.

Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai Tidak Sihat, manakala bacaan melebihi 200 dikategorikan sebagai Sangat Tidak Sihat.

Pada tahap tidak sihat, orang ramai khususnya golongan berisiko tinggi dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, manakala aktiviti luar bilik darjah yang melibatkan murid perlu dihentikan.

Keadaan dijangka terus diberi perhatian susulan peningkatan bacaan di beberapa kawasan, terutama Serian yang kini menghampiri bacaan 200.

Oleh Masrin Affirah