DEBAK: Penduduk Rumah Panjang Babu Sedebau bakal menikmati kemudahan awam yang lebih selesa menerusi pelaksanaan projek Bina Baharu Tandas Awam bernilai RM50,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026.
Sesi serah tapak bagi memulakan projek berkenaan berlangsung hari ini dengan penglibatan Majlis Daerah Betong (MDB) bersama Pusat Khidmat ADUN Bukit Saban.
Projek pembinaan tandas awam baharu itu akan dilaksanakan menerusi pendekatan gotong-royong dengan penglibatan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang Babu Sedebau.
Pendekatan tersebut bukan sahaja dapat membantu melancarkan pelaksanaan projek, malah memberi peluang kepada penduduk setempat untuk terlibat secara langsung dalam usaha meningkatkan kemudahan awam di kawasan mereka.
Kemudahan tandas awam baharu itu dijangka memberi manfaat kepada penduduk serta tetamu yang berkunjung ke rumah panjang berkenaan.
Ia juga penting dalam menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan di rumah panjang, khususnya apabila menerima kunjungan orang luar atau mengadakan program melibatkan jumlah peserta yang ramai.
Pelaksanaan projek berkenaan memperlihatkan usaha berterusan menyediakan kemudahan asas yang lebih baik kepada masyarakat luar bandar, selaras dengan keperluan dan keselesaan komuniti setempat.
Kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, Pusat Khidmat ADUN serta komuniti menerusi JKKK turut memperlihatkan kepentingan penglibatan masyarakat dalam menjayakan pembangunan di peringkat akar umbi.
Projek berkenaan diharap dapat dilaksanakan dengan lancar mengikut spesifikasi dan jadual yang ditetapkan, sekali gus menyediakan kemudahan awam yang lebih baik serta memenuhi keperluan penduduk Rumah Panjang Babu Sedebau.
Hadir pada sesi berkenaan, Ahli Majlis Daerah Betong, Kaunselor Pengiran; wakil MDB; Tuai Rumah Busu Bidi; serta wakil Pusat Khidmat ADUN Bukit Saban.
Oleh Adi Safarman





