LAWAS: Kekerapan gangguan internet dan sistem komunikasi dilaporkan terus memberi kesan kepada kehidupan harian penduduk di daerah ini.
Suri rumah, Salmiah Idris dari Kampung Banting Blok 6, berkata gangguan rangkaian internet menyukarkan urusan harian, termasuk berkomunikasi dengan pihak sekolah.
Katanya, beliau baru-baru ini gagal menghantar mesej kepada pihak sekolah bagi memaklumkan anaknya tidak dapat hadir ke sekolah apabila rangkaian internet di kawasan kediamannya terputus.
“Rumah saya hanya kira-kira dua kilometer dari bandar Lawas, tetapi masih berdepan masalah kehilangan rangkaian internet,” katanya.
Menurut Salmiah, beberapa rakannya turut berdepan masalah sama apabila gagal membuat permohonan bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) beberapa bulan lalu kerana telefon pintar mereka tidak dapat mengakses aplikasi berkenaan.
Katanya, masalah internet yang tidak konsisten telah berlarutan sejak sekian lama dan menjejaskan pelbagai urusan penduduk.
Isu berkenaan turut mendapat perhatian Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, ketika melakukan lawatan kerja ke Loji Rawatan Air Wilayah Trusan minggu lalu.
Awang Tengah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari, dilaporkan meminta penjelasan secara langsung daripada Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Liwan Lagang, yang turut hadir pada lawatan berkenaan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, pada awal tahun ini turut memanggil pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Sacofa ke pejabatnya di Lawas bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu berkenaan.
Menurutnya, kedua-dua pihak pada pertemuan itu memberi komitmen untuk menangani masalah gangguan internet di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, penduduk mendakwa masalah tersebut masih belum diselesaikan sepenuhnya sehingga kini.
Oleh Adeng Edrus




