KUCHING: Seramai 50 ibu baharu di Hospital Umum Sarawak (HUS) menerima pek hadiah serta baucar perjalanan percuma daripada Maxim Malaysia menerusi inisiatif sempena Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia.
Menurut kenyataan Maxim Malaysia, inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama HUS itu bertujuan menghargai ibu-ibu di wad bersalin, selain membantu memudahkan urusan pengangkutan mereka selepas keluar dari hospital.
Setiap pek hadiah mengandungi botol susu bayi dan mainan pertama untuk bayi, manakala baucar perjalanan yang diberikan boleh digunakan untuk perjalanan pulang dari hospital serta urusan susulan, seperti pemeriksaan kesihatan dan membawa bayi mendapatkan rawatan.
Pengarah Maxim Malaysia, Mohd Hazwan Musley, berkata inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha syarikat untuk memberikan sokongan kepada ibu dan bayi yang baharu dilahirkan.
“Kadangkala, perkara yang paling bermakna datang dalam bentuk yang paling sederhana.
“Membantu seorang ibu pulang dengan selamat tanpa perlu risau tentang pengangkutan serta memberikan sedikit ketenangan ketika memulakan kehidupan bersama bayi yang baru dilahirkan adalah antara matlamat kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut petugas kejururawatan di wad bersalin, para ibu menyambut baik inisiatif berkenaan, khususnya bantuan pengangkutan yang dapat meringankan urusan mereka selepas dibenarkan pulang.
HUS merupakan hospital rujukan awam tertiari utama serta fasiliti penjagaan kesihatan terbesar di Sarawak. Jabatan Obstetrik dan Ginekologi di hospital berkenaan mengendalikan jumlah kes materniti yang tinggi, termasuk kes rujukan dari hospital daerah dan pusat perubatan swasta di seluruh negeri.
Wakil HUS turut menyambut baik kerjasama berkenaan dan menyifatkan sokongan pihak swasta terhadap kebajikan ibu sebagai sesuatu yang bermakna kepada penerima.
“Inisiatif seperti ini membantu meningkatkan keselesaan dan keselamatan ibu, termasuk ketika mereka dalam perjalanan pulang selepas menerima rawatan.
“Kami amat menghargai kehadiran serta sokongan Maxim dalam menjayakan inisiatif sempena Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia ini,” katanya.
Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia disambut pada 1 hingga 7 Ogos setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penyusuan susu ibu serta menggalakkan sokongan berterusan kepada ibu dan bayi.
Maxim Malaysia berharap inisiatif seumpama itu dapat diteruskan dan diperluaskan ke hospital lain di seluruh negara sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat dalam menyokong kesejahteraan komuniti.





