Kokain bernilai lebih RM1.106 bilion ditemukan dalam kotak pisang di Pelabuhan Essex

Facebook
WhatsApp
KOKAIN yang dikatakan bernilai lebih daripada RM1.106 bilion telah ditemui tersembunyi di dalam kotak pisang di pelabuhan British.

LONDON: Kokain bernilai lebih RM1.1 bilion (hampir AS$270 juta) ditemukan tersembunyi di dalam kotak pisang di sebuah pelabuhan Britain, lapor PA Media/dpa.

Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) berkata pegawai Pasukan Sempadan merampas bekalan dadah seberat 2.9 tan itu di Pelabuhan London Gateway di Essex pada Khamis.

Rampasan yang dianggarkan mempunyai nilai pasaran RM1.28 bilion (AS$313 juta) itu ditemukan tersembunyi dalam muatan pisang dari Amerika Selatan.

Sembilan lelaki ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Pegawai penyiasat kanan NCA Dave Phillips berkata rampasan itu sangat signifikan dan telah menyebabkan kumpulan jenayah terancang kehilangan keuntungan besar.

“Wang itu tidak lagi boleh digunakan untuk membiayai kegiatan jenayah lain.

“Dadah Kelas A memusnahkan kehidupan, bersifat toksik dan boleh membawa kesan buruk kepada masyarakat kita.

“NCA akan terus memerangi ancaman dadah Kelas A bersama rakan kerjasama dalam negara seperti Pasukan Sempadan, selain di negara sumber dan transit,” katanya.

Pada Februari 2024, NCA dan Pasukan Sempadan melakukan apa yang dipercayai sebagai rampasan dadah Kelas A terbesar di United Kingdom (UK).

Hampir enam tan kokain ditemukan dalam sebuah kontena di Pelabuhan Southampton, tersembunyi dalam kargo pisang dari Amerika Selatan.

Pada Oktober 2025, Kementerian Dalam Negeri berkata dadah bernilai lebih RM5.53 bilion (AS$1.35 bilion) telah dipintas sepanjang musim panas. 

Antara 1 Jun hingga 31 Ogos tahun lepas, pegawai Pasukan Sempadan merampas 15.6 tan kokain, menurut kementerian itu. – Bernama-PA Media/dpa