SURABAYA, Indonesia: Puluhan sekolah di Indonesia ditutup untuk hari kedua susulan jerebu yang semakin merebak akibat kebakaran hutan yang melanda kepulauan itu pada awal musim kering yang panjang dan sengit, yang diburukkan lagi oleh fenomena El Nino.
Di Kalimantan Barat, di pulau Borneo yang dikongsi Indonesia dengan Malaysia dan Brunei, Datuk Bandar Pontianak mengarahkan sekolah ditutup susulan asap yang menyelubungi bandar itu akibat kebakaran yang berlaku di kawasan lain.
Rekod awam menunjukkan terdapat puluhan ribu murid sekolah awam di Pontianak.
Datuk Bandar Edi Rusdi Kamtono berkata dalam satu kenyataan pada Isnin bahawa murid akan mengikuti pembelajaran dari rumah selagi kualiti udara masih buruk, namun tidak menyatakan jumlah sekolah yang terjejas.

“Kami mula merasainya, terutama pada waktu malam dan pagi, apabila jerebu sudah menyelubungi bandar Pontianak,” katanya.
Di pulau Jawa, anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran untuk hari kesembilan di sebuah taman negara yang kehilangan 900 hektar kawasan akibat kebakaran yang tercetus pada Isnin minggu lalu.
Kebakaran di Taman Negara Bromo Tengger Semeru, yang merupakan tarikan pelancongan utama dan ditutup kepada pengunjung sejak Sabtu, merupakan antara beberapa kebakaran hutan yang menyaksikan hampir 50,000 anggota bomba dikerahkan di seluruh negara.
Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia meramalkan negara itu akan mengalami musim kering yang luar biasa sengit tahun ini dengan risiko tinggi berlakunya kemarau dan kebakaran hutan, sebahagiannya disebabkan fenomena cuaca El Nino.
Lebih 107,000 hektar tanah telah terbakar di seluruh negara setakat tahun ini. Pihak berkuasa menegaskan bahawa bekalan makanan masih mencukupi.
Julai panas
Kebakaran di Taman Negara Bromo di Jawa Timur telah memusnahkan hampir 900 hektar atau lebih 2,200 ekar kawasan setakat pagi Selasa.
Keluasan itu bersamaan lebih 1,200 padang bola sepak dan hampir dua peratus daripada keseluruhan kawasan taman negara berkenaan.

“Kami sedang berusaha sedaya upaya dan menggerakkan segala sumber… untuk memadam serta membasahkan kawasan berkenaan,” kata pegawai bencana tempatan, Satriyo Nurseno, kepada AFP.
“Kami berharap dapat memadam kebakaran di semua kawasan hari ini, kemudian menjalankan kerja-kerja pembasahan supaya api tidak kembali marak.”
Tiga helikopter pengebom air dan trak bomba memberikan sokongan kepada kira-kira 200 anggota bomba, renjer hutan, polis dan tentera yang membantu memadam kebakaran itu.
Menurut Agensi Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), lebih 48,000 anggota telah dikerahkan untuk memerangi kebakaran di enam wilayah.
Menteri Keselamatan Djamari Chaniago berkata pada Isnin bahawa Indonesia mengerahkan 43 helikopter dan sehingga 15 pesawat sayap tetap untuk melaksanakan pembenihan awan apabila diperlukan.
Proses itu melibatkan penyemburan zarah seperti iodida perak dan garam dari pesawat bagi menghasilkan hujan, namun bergantung pada kewujudan awan.
Ketika Indonesia bersiap sedia menghadapi kesan terburuk El Nino, BMKG berkata suhu udara purata pada Julai ialah 27 darjah Celsius, lebih tinggi berbanding purata 26.2 darjah Celsius.
Ia merupakan peningkatan suhu tertinggi bagi bulan Julai sejak 1991.
El Nino ialah fenomena iklim semula jadi yang menyebabkan perubahan corak angin, tekanan udara dan taburan hujan di seluruh dunia.
Di India dan Asia Tenggara, fenomena itu lazimnya menyebabkan keadaan lebih kering.
El Nino terakhir turut menyumbang kepada 2023 dan 2024 menjadi dua tahun paling panas pernah direkodkan di seluruh dunia.
Keluasan tanah yang musnah akibat kebakaran hutan di Indonesia setakat tahun ini adalah dua kali ganda berbanding kawasan yang terbakar pada 2023.





