18 pain darah berjaya dikumpul menerusi kempen ‘From You, For Life 2.0’

Facebook
WhatsApp
PRESIDEN JCI Sarikei, Wong Siew Wu menyerahkan cemderamata kepada pihak Hospital Sarikei. Foto JCI Sarikei

SARIKEI: Sebanyak 18 pain darah berjaya dikumpulkan menerusi kempen derma darah ‘From You, For Life 2.0’, sekali gus membantu menambah bekalan darah bagi memenuhi keperluan pesakit di Hospital Sarikei.

Presiden Junior Chamber International (JCI) Sarikei, Wong Siew Wu, berkata program anjuran JCI Sarikei dengan kerjasama Hospital Sarikei itu merupakan antara usaha kemasyarakatan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menderma darah.

“Satu pendermaan darah mampu menyelamatkan sehingga tiga nyawa.

“Tindakan yang mungkin kelihatan mudah bagi seseorang sebenarnya boleh memberikan peluang kedua kepada individu lain yang memerlukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, kempen yang dijalankan di Hospital Sarikei baru-baru ini turut menggalakkan penyertaan penderma baharu selain mereka yang sudah menjadikan pendermaan darah sebagai amalan berkala.

ANTARA penderma yang menderma darah di Hospital Sarikei, baru-baru ini. Foto JCI Sarikei

Menurut beliau, setiap sumbangan amat bermakna kerana bekalan darah yang mencukupi diperlukan bagi memastikan pihak hospital sentiasa bersedia memenuhi keperluan pesakit, khususnya ketika berlaku kecemasan atau bagi rawatan yang memerlukan transfusi darah.

“Menerusi ‘From You, For Life 2.0’, kami mahu mengajak lebih ramai tampil sebagai penderma darah dan bersama-sama membantu memastikan Hospital Sarikei mempunyai bekalan darah yang mencukupi untuk pesakit yang memerlukan,” katanya.

Tambahnya, kejayaan mengumpulkan 18 pain darah tersebut menunjukkan kesediaan masyarakat untuk bersama-sama menyumbang kepada usaha kemanusiaan dan membantu mereka yang memerlukan.

Beliau turut berharap kesedaran mengenai kepentingan menderma darah dapat terus dipertingkatkan kerana keperluan terhadap bekalan darah merupakan keperluan yang berterusan.

“Sama ada anda penderma kali pertama atau penderma darah tetap, setiap sumbangan amat bermakna,” katanya.

SEBAHAGIAN penderma darah yang tampil menjayakan kempen ‘From You, For Life 2.0’ di Hospital Sarikei baru-baru ini. Foto JCI Sarikei

Katanya, penganjuran program tersebut juga selaras dengan usaha JCI Sarikei untuk menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti kesukarelawanan yang memberikan impak secara langsung kepada komuniti setempat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Hospital Sarikei atas kerjasama dalam menjayakan program berkenaan serta kepada para penderma yang tampil menyumbangkan darah.

Program itu turut mendapat sokongan Air Minuman Willy dan Wellcome Enterprise sebagai penaja bagi menjayakan inisiatif berkenaan.

Oleh Earl Anek