WEST KELOWNA, Kanada: Selepas diarahkan meninggalkan kediaman pada 3.00 pagi akibat kebakaran hutan yang merebak pantas di Kanada, Larry dan Mora Goodman menyertai konvoi bersama jiran mereka untuk bergerak secara berkumpulan menuju ke tempat selamat.
“Ramai penduduk kami terdiri daripada warga emas dan mereka takut untuk memandu pada waktu malam,” kata Mora Goodman kepada AFP di West Kelowna, British Columbia, salah sebuah komuniti menempatkan penduduk yang dipindahkan akibat kebakaran hutan Bald Range.
Kebakaran di kawasan pedalaman wilayah barat Kanada itu bermula pada Jumaat lepas dan merebak dengan pantas sepanjang hujung minggu.
Lebih 20,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing dan pihak berkuasa memberi amaran keadaan boleh menjadi lebih buruk berikutan keadaan seperti kemarau di wilayah yang terletak lebih 400 kilometer (250 batu) di barat laut Vancouver itu.

Seorang wanita berusia 80 tahun maut ketika melarikan diri dari kediamannya dan kerajaan wilayah mengisytiharkan darurat.
Pasangan Goodman menetap di Peachland, salah sebuah komuniti yang berdepan ancaman langsung daripada kebakaran Bald Range.
Mora berkata selepas memastikan semua keperluan telah dibawa, Larry memasang lampu pada bonet keretanya bagi meningkatkan penglihatan ketika konvoi bergerak menuju ke West Kelowna, kira-kira 20 kilometer dari situ.
“Kami semua bergerak secara konvoi di lebuh raya pada tengah malam,” katanya.
Larry berkata beliau menganggap dirinya antara “yang bernasib baik” kerana setakat ini belum ada petunjuk bahawa komuniti tempat tinggalnya musnah.
“Kami makan jauh lebih banyak makanan berbanding ketika berada di rumah,” kata Mora, sambil menyebut restoran tempatan dan kumpulan masyarakat sivil di sekitar West Kelowna yang menggerakkan usaha bantuan.
Tidak Menentu
Kanada sangat terdedah kepada kebakaran hutan berskala besar dan sukar dikawal, manakala pakar berkata pemindahan kecemasan sepanjang musim panas dijangka terus berlaku.
Kanada menempatkan kira-kira satu perempat daripada kawasan hutan boreal dunia dan purata suhu tahunan negara itu meningkat kira-kira dua kali ganda lebih pantas berbanding purata global.
Komuniti yang semakin berkembang turut tersebar di seluruh negara yang luas itu, termasuk di kawasan yang sangat mudah terdedah kepada kebakaran.
Kerajaan Kanada sedang berusaha menyesuaikan diri dengan keadaan itu menerusi perolehan lebih banyak pesawat pengebom air serta menyokong strategi pengurusan hutan secara proaktif, namun langkah berkenaan mempunyai keterbatasan.
Lebih 4 juta hektar kawasan telah terbakar setakat tahun ini, iaitu keluasan kira-kira sebesar Switzerland.
Puluhan ribu penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing, manakala bandar raya utama seperti Toronto berdepan antara kualiti udara terburuk di dunia bulan lalu.
Di West Kelowna, pegawai Salvation Army, Rob Henson, berkata pelbagai lapisan masyarakat terjejas akibat kebakaran Bald Range.
“Antaranya pekerja migran yang kami bantu di sini. Mereka terpaksa meninggalkan ladang tempat mereka biasanya bekerja dan kini berada di sini tanpa pakaian atau apa-apa keperluan.”
“Orang ramai tidak tahu apa yang akan berlaku,” katanya. “Mereka mahu kembali ke tempat asal, dan itu memang sukar.” – AFP





