SIBU: Polis menahan tiga lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung satu kejadian pergaduhan yang tular di media sosial Facebook, membabitkan seorang lelaki dipukul oleh sekumpulan individu di sekitar Sibu.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pihaknya mengesan video berdurasi 19 saat itu sebelum menerima laporan polis daripada seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun pada 9 Ogos lepas.
Beliau berkata susulan laporan tersebut, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu menjalankan siasatan dan berjaya mengesan serta menahan tiga suspek utama di tiga lokasi berasingan di sekitar Sibu.
“Ketiga-tiga suspek yang ditahan ialah lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 60 tahun. Mereka akan dibawa ke Mahkamah Sibu hari ini bagi permohonan perintah reman untuk membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata atau cara yang berbahaya, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.
Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata atau apa-apa benda yang, jika digunakan sebagai senjata, berkemungkinan menyebabkan kematian, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Abang Zainal Abidin berkata siasatan masih diteruskan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam kejadian berkenaan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan semula video tular tersebut kerana ia boleh menjejaskan siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya.
Oleh Tarani Lanting





