KOTA SAMARAHAN: Di sebalik setiap gulungan Vietnam Roll yang dihasilkan, tersimpan kisah seorang anak yang mencari rezeki tanpa mahu berjauhan daripada ibu yang sedang sakit dan memerlukan perhatian.
Bagi Bernadette Stella Mayang Thomas, 39, rumah bukan sekadar tempat berlindung, tetapi menjadi ruang untuknya membina sebuah impian kecil sambil terus menunaikan tanggungjawab menjaga insan tersayang.
Kesibukan menyediakan bahan dan memenuhi tempahan pelanggan perlu disesuaikan dengan rutin menjaga ibu serta menguruskan kerja rumah, menyebabkan masa menjadi antara cabaran terbesar buat dirinya.
Ada ketikanya, ketika tempahan perlu disiapkan, perhatian terhadap ibu tetap perlu didahulukan sehingga proses penyediaan makanan terpaksa dilakukan mengikut kelapangan masa.

“Menjaga ibu yang sakit dan menguruskan kerja rumah membuatkan saya kadang-kadang tidak cukup masa.
“Terutama apabila ibu memerlukan perhatian lebih, proses penyediaan bahan kadang-kadang menjadi kelam-kabut apabila masa tidak mencukupi,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak.
Atas faktor itu, Bernadette memilih untuk menerima tempahan lebih awal supaya setiap pesanan dapat dirancang dengan baik tanpa mengabaikan keperluan ibunya.
Perancangan awal juga membolehkannya menentukan jumlah bahan yang diperlukan, sekali gus memudahkannya membahagikan masa antara urusan keluarga dan perniagaan.
Dalam kesibukan menjaga ibu, idea menghasilkan Vietnam Roll tercetus daripada inspirasi rakan-rakan wanita yang mengamalkan gaya hidup sihat tetapi pada masa sama mahu menikmati makanan yang enak dan berkhasiat.
Daripada inspirasi itu, Bernadette mula menghasilkan Vietnam Roll dengan sentuhan tersendiri, termasuk sos hijau berkrim yang menjadi antara tarikan utama produknya.

“Kebanyakan pelanggan memuji kesedapan sos hijau yang saya sediakan. Apabila dimakan bersama Vietnam Roll yang padat, ia sangat menepati selera mereka,” ujarnya.
Tanpa memiliki premis sendiri, media sosial menjadi platform utama Bernadette memperkenalkan hasil tangannya serta mendapatkan tempahan daripada pelanggan.
Namun, perjalanan mencari rezeki dari rumah bukan tanpa cabaran apabila kekangan pengangkutan menyukarkannya untuk mendapatkan bekalan bahan mentah atau membuat penghantaran secara tunai semasa penghantaran (COD) pada bila-bila masa.
Beliau banyak bergantung kepada bantuan dua kakaknya, terutama pada hujung minggu, untuk membeli bahan serta menghantar tempahan kepada pelanggan.
Di sebalik keterbatasan itu, Bernadette tetap menyimpan impian untuk memiliki sebuah gerai kecil suatu hari nanti bagi mengembangkan perniagaannya.

Namun, impian tersebut tidak mahu dikejarnya secara terburu-buru kerana baginya, tanggungjawab menjaga ibu tetap mengatasi segala-galanya.
“Jika punya rezeki lebih dan diizinkan Tuhan untuk membuka gerai kecil-kecilan, saya sudah cukup bersyukur.
“Tetapi memandangkan tanggungjawab saya terlalu banyak di rumah, buat sementara ini saya lebih selesa beroperasi dari rumah,” katanya.
Bagi Bernadette, sebuah gerai mungkin boleh menunggu, namun masa bersama ibu terlalu berharga untuk diketepikan.
Selagi ibunya memerlukan perhatian, rumah itulah menjadi tempat terbaik untuknya terus berbakti sambil menggulung satu demi satu Vietnam Roll — bersama harapan bahawa setiap usaha kecil hari ini mampu membawa rezeki yang lebih baik pada hari esok.
Oleh Norman B





