KUALA LUMPUR: Jelitawan Taanusiya Chetty berikar akan memberikan sepenuh jiwanya dalam perjuangan membawa pulang mahkota Miss World buat kali pertama ke Malaysia apabila melangkah di pentas edisi ke-73 pertandingan berprestij yang berlangsung di Vietnam itu.
Taanusiya, 26, yang mesra disapa Taanu, berkata beliau enggan sekadar menjadi “pelengkap festival” sepanjang pertandingan yang bermula hari ini hingga 5 September depan.
“Harapan dan azam utama saya hanyalah satu, membawa pulang mahkota Miss World yang pertama buat Malaysia. Saya rasa hanya ini peluang saya dan saya berjanji akan menguasai setiap segmen,” katanya kepada Bernama, di sini baru-baru ini.

Miss World Malaysia 2024/2025 itu juga sedar setiap langkahnya di pentas antarabangsa membawa nama “Malaysia”, justeru segala tutur kata dan perbuatannya melambangkan imej negara.
Berlatar belakang sebagai pendidik, Taanusiya tidak hanya bersandarkan pada paras rupa tetapi turut menjadikan misi memperkasakan agenda pendidikan serta advokasi kemanusiaan sebagai taruhan di pentas berprestij itu dalam merealisasi impian menjulang mahkota Miss World.
Yakin dengan persiapan rapi yang dilakukan selama 19 bulan telah membentuk jati dirinya sebagai wakil negara, wanita muda ini bagaimanapun mengakui tetap berasa gemuruh menjelang penerbangannya ke Vietnam esok.
“Sebagai manusia biasa, perasaan gemuruh itu tetap ada. Namun, apabila kita menghargai setiap detik peluang emas sekali seumur hidup ini, rasa gentar itu akan hilang dengan sendirinya,” katanya, kehangatan perjalanannya turut disemarakkan dengan sokongan padu pereka fesyen tempatan menerusi kira-kira 100 busana rekaan eksklusif.

TAANUSIYA Chetty (tengah) bersama ibu dan bapanya ketika sidang media.Berbekalkan ikrar untuk menjulang mahkota pertama Miss World serta memelihara imej negara di persada dunia, jelitawan Taanusiya Chetty nekad mempertaruhkan jiwa dan raganya pada edisi ke-73 pertandingan berprestij itu di Vietnam, Ogos ini. Foto BERNAMA
Berkongsi tentang persiapannya, Taanusiya berkata beliau antara lain akan mempersembahkan tarian silat pada segmen bakat yang telah dipelajarinya dengan gigih selama sembilan bulan.
Fasih bertutur dalam bahasa Melayu, Tamil, Mandarin dan Inggeris, beliau berkata usahanya untuk mendapatkan mahkota berprestij itu bukan semata-mata untuk diri sendiri, tetapi mahu membuktikan kepada bekas anak muridnya bahawa tiada yang mustahil dalam memburu impian.
“Semua anak murid yang saya didik semasa menjalani latihan sebagai guru tahu saya akan mewakili Malaysia. Jadi, kalau saya balik dengan gelaran itu, mereka juga akan ada peluang untuk memasang impian besar dan berani memburu impian itu,” katanya yang turut menitipkan pesanan buat seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa berani menjadi diri sendiri dan menghargai setiap peluang yang datang dalam hidup.
Terdahulu, rata-rata peminat pertandingan ratu cantik antarabangsa meletakkan sasaran gadis kelahiran Kuala Lumpur itu bakal memenangi mahkota Miss World.
Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia di pentas Miss World dilakar oleh Lina Teoh yang meraih tempat ketiga pada 1998.
Selain itu, Rahimah Orchient Yayah pernah mara ke kelompok 10 terbaik pada 1994, manakala Deborah Henry berjaya menempatkan diri dalam 16 terbaik pada 2007.
Dalam pada itu, Dewi Liana Seriestha turut membanggakan negara apabila menjuarai kategori Talent pada 2014.
Pencapaian ini diteruskan oleh wakil-wakil seterusnya seperti Larissa Ping (2018), Alexis Sue Ann (2019), Dr Lavanya Sivaji (2021), Wenanita Angang (2022), dan Saroop Roshi (2023) yang masing-masing berjaya menembusi kelompok Top 30 dan Top 40. – Bernama





