SARIKEI: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan bahawa penjawat awam Sarawak berpotensi menerima bonus dua bulan berdasarkan prestasi kewangan negeri yang memberangsangkan setakat Jun tahun ini.
Katanya, prestasi hasil negeri bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini menunjukkan perkembangan yang positif, sekali gus memberikan keyakinan kepada kerajaan negeri untuk mempertimbangkan ganjaran tersebut.
“Saya mengikut laporan yang saya terima dalam tempoh enam bulan. Tunggu saya lihat dahulu, tetapi hari ini saya melihat penjawat awam dan juga pihak lain bekerja kuat.
“Saya berani menyebut dua bulan untuk masa depan, walaupun terlalu awal, kerana saya sudah mempunyai semua angka tersebut,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sarikei, hari ini.
Bagaimanapun, Abang Johari berkata, data yang diterimanya ketika ini hanya melibatkan prestasi kewangan negeri sehingga Jun dan kerajaan akan terus memantau perkembangan hasil negeri sebelum membuat keputusan muktamad.
“Namun saya boleh beritahu bahawa angka yang saya terima adalah setakat Jun sahaja.
“Apa yang penting sekarang ialah selagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus mentadbir kerajaan negeri,” katanya.
Katanya, prestasi ekonomi yang kukuh membolehkan kerajaan Sarawak terus melaksanakan pelbagai agenda pembangunan dan menjaga kebajikan penjawat awam yang menjadi tulang belakang penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Abang Johari berkata, komitmen dan dedikasi penjawat awam dalam melaksanakan dasar serta program pembangunan kerajaan Sarawak merupakan antara faktor yang menyumbang kepada pencapaian positif Sarawak.
Kenyataan itu sekali gus memberi gambaran bahawa kerajaan Sarawak sentiasa menilai prestasi kewangan secara berterusan sebelum mempertimbangkan sebarang bentuk ganjaran kepada penjawat awam.
Bagaimanapun, beliau tidak mengumumkan sebarang keputusan rasmi berhubung pemberian bonus tersebut, sebaliknya memberi bayangan bahawa perkara itu bergantung kepada kedudukan kewangan negeri berdasarkan prestasi semasa.
Oleh Earl Anek





