KUCHING, 9 Oktober: Kualiti udara di kebanyakan kawasan di Sarawak berada pada tahap sederhana, kecuali Betong yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 12.00 tengah hari ini.
Berdasarkan data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Betong merekodkan bacaan IPU tertinggi, iaitu 128, sekali gus menjadi satu-satunya kawasan yang berada dalam kategori tidak sihat.
Sementara itu, Sarikei mencatatkan bacaan kedua tertinggi, iaitu 89, diikuti Sri Aman dan Lubok Antu yang masing-masing 88, serta Serian mencatatkan 85.
Kuching pula merekodkan bacaan IPU 82, diikuti Bintulu 78, manakala Samalaju, Lundu dan Belaga masing-masing mencatatkan bacaan 77.
Kawasan lain yang turut berada pada tahap sederhana ialah Samarahan (76), Kapit (71), Mukah dan Kanowit yang masing-masing (70), serta Miri (69) dan Sibu (68).
Tebedu merekodkan bacaan 67, diikuti Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (66), Lawas (65), Bario (59) dan Limbang (57).
Limbang mencatatkan bacaan IPU terendah setakat tengah hari ini, namun masih berada dalam kategori sederhana.
Secara keseluruhannya, 20 daripada 21 stesen pemantauan kualiti udara di seluruh Sarawak merekodkan bacaan IPU dalam lingkungan 51 hingga 100, manakala Betong berada dalam kategori tidak sihat.
Mengikut klasifikasi IPU, bacaan antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sebagai sederhana, 101 hingga 200 sebagai tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala 301 hingga 400 sebagai berbahaya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai status kualiti udara di Sarawak menerusi laman web rasmi NREB.





