LUBOK ANTU: Empat individu, termasuk tiga warga Indonesia, ditahan polis dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah di Lebuh Raya Pan Borneo berhampiran Engkilili, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP Pricha Azin berkata, seorang lelaki tempatan ditahan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.
Katanya, seorang lelaki warga asing ditahan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, manakala dua lelaki dan seorang wanita warga Indonesia ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Dalam operasi itu, polis turut merampas sebuah kereta Proton Persona, satu gugus kunci kenderaan, tiga telefon bimbit pelbagai jenama serta sebentuk cincin berwarna perak yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi yang diketuai Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu, Inspektor Nelson Ensit, membabitkan 20 anggota daripada pelbagai pangkat dan cawangan.
Menurut Pricha, operasi berkenaan bertujuan mengurangkan kadar jenayah indeks, mencegah dan membanteras kegiatan jenayah serta penyalahgunaan dadah, selain mempergiat penguatkuasaan undang-undang lalu lintas.
“Sebanyak 110 kenderaan pelbagai jenis dan 125 individu diperiksa menerusi sekatan jalan raya yang dilaksanakan sepanjang operasi.
“Polis turut mengeluarkan 20 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya.
Beliau berkata, IPD Lubok Antu akan terus komited melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berkala bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah itu sentiasa terpelihara.
Oleh Adi Safarman





